Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memberikan pengkhabaran yang sedikit melegakan buat bola sepak negara.
Hal ini kerana badan induk bola sepak Asia itu tidak akan menggantung skuad negara dalam Kelayakan Piala Asia 2031.
Perkara itu disahkan Windsor menurut sumber laporan Harian Metro dengan menyifatkan situasi melibatkan Malaysia dan Timor Leste yang pernah digantung AFC adalah berbeza.
Pada 20 Januari 2017, Timor Leste menerima hukuman AFC selepas digantung daripada menyertai Kelayakan Piala Asia 2023 dan turut didenda $20,000 kerana pemalsuan pendaftaran 12 pemain kelahiran Brazil.
Perbandingan Hukuman AFC
Menurut Windsor, kesalahan melibatkan Timor Leste hanya dikesan selepas berakhirnya kejohanan anjuran AFC, tetapi sebaliknya buat Malaysia.
“Peraturan itu tidak memberi kuasa kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk memberi hukuman lebih daripada apa yang mereka boleh beri. Jadi, kes Timor Leste itu, pertandingan sudah habis baru kita jumpa kesalahan.”
“Apabila pertandingan sudah habis, anda tak boleh hukum dia (Timor Leste) ke belakang, anda kena hukum ke depan. Sebab itu Timor Leste dilarang bermain dalam edisi (kelayakan Piala Asia) yang seterusnya.
“Harimau Malaya pula situasi dia lain. Perkara ini dijumpai dalam pertandingan sedang berjalan. Tidak boleh kata Timor Leste dengan FAM sama, situasi tak sama,” ujar Windsor.
“Kita serahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk meneliti fakta. Sebab semua keputusan yang Jawatankuasa Tatatertib buat boleh dirayu. Selepas rayuan, kes itu juga boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).”
“Jadi, tidak boleh dibuat keputusan sembarangan, mereka mesti membuat keputusan berdasarkan kuasa di bawah kod tatatertib. Keputusan hanya boleh dibuat dalam lingkungan kuasa yang diberikan, tidak lebih dan tidak kurang.”
“Jika hukuman atau keputusan itu dianggap berlebihan, pihak yang terbabit juga boleh membuat rayuan. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati. Mereka mempunyai kuasa, tetapi kuasa itu terhad kepada apa yang dinyatakan dalam kod (peraturan),” tambah beliau lagi.