Isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia nampaknya masih belum reda dan kali ini melibatkan lebih 20 bekas pemain Perlis United FC (PUFC) yang beraksi di Liga M3.

Menurut laporan Arena Metro, kelab itu masih belum melangsaikan tunggakan gaji berbaki dua bulan walaupun saingan Liga M3 musim lalu sudah berakhir.

Baca Juga:

Perkembangan tersebut didedahkan oleh bekas ketua pasukan dan juga pemain berpengalaman, Azizi Matt Rose yang mewakili rakan sepasukannya. Mereka berharap tunggakan gaji dapat diselesaikan sebelum hari raya Aidilftri.

“Kami desak gaji September dan Oktober tahun lalu yang masih belum diselesaikan pengurusan PUFC dan saya difahamkan ia berjumlah RM150,000 membabitkan 23 pemain PUFC musim lalu.

“Pengurusan pengurusan hanya mendiamkan diri walaupun kami sudah berulang kali bertanyakan mengenai tunggakan itu, sedangkan kami ada keluarga untuk disara tambah lagi Aidilfitri semakin dekat.

“Saya sudah di hujung karier dan mengecap pelbagai pengalaman bermain di luar Perlis dengan pasukan ternama seperti Johor Darul Takzim (JDT), Kelantan dan Terengganu, tetapi saya kasihankan pemain muda di kelab ini.

“Ada yang terpaksa menamatkan karier mereka lebih awal disebabkan ketidaktentuan pengurusan sehingga mengakibatkan masalah tunggakan gaji ini menjadi seperti satu kebiasaan dalam dunia bola sepak Perlis,” katanya.

Ketiadaan gaji menyebabkan beberapa pemain Perlis terpaksa mencari sumber pendapatan lain seperti bekerja sebagai penoreh getah, penghantar kurier, dan berniaga kecil-kecilan demi menyara ahli keluarga.

Pada tahun 2019, Vocket FC pernah mendedahkan kisah pemain Perlis FA terpaksa mengambil upah kerja gantung ‘banner’, dan melakukan kerja kampung gara-gara kerana kegagalan pengurusan pasukan melunaskan baki tunggakan gaji.