Bekas pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United yang bergelar Datuk Seri dikenakan hukuman penjara selama 7 hari selepas gagal melunaskan baki tunggakan gaji kepada bekas pemain pasukan itu.

Menurut peguam bela yang mewakili 46 pegawai dan pemain pasukan tersebut, Suhail Rahimi Abdul Razak, Datuk Seri itu gagal menyelesaikan jumlah baki RM1.5 yang dipersetujui daripada jumlah keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari lalu.

Baca Juga:

Ini adalah kes saman sivil pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia yang membabitkan pemilik kelab.

“Memandangkan terdapat cadangan penyelesaian sebelum ini dan terdapat proses-proses pembayaran pada tahun 2023 dan hasil perbincangan lanjut, jumlah baki akhir yang wajib diselesaikan oleh defendan menjadi RM1.5 juta.

“Pihak peguam telah berhubung dengan pihak defendan (bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra FA) sehingga 5.00 petang, 9 Februari lalu dan dukacita dimaklumkan masih belum ada bayaran.

“Peguam menghantar satu surat kepada mahkamah untuk perintah tangkapan yang diberikan oleh mahkamah pada 29 Januari 2024 lalu diteruskan dan pagi ini mahkamah mungkin sudah keluarkan perintah tangkapan tersebut kepada balai berkenaan untuk proses perlaksanaan.

“Selepas hukuman dijalankan, kami akan teruskan dengan tindakan pelaksanaan yang lain seperti istiharkan bankrap, sita harta miliknya dan sebagainya. Itu bergantung kepada pemain selepas dia keluar penjara nanti. Kes ini tidak akan berhenti di sini,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.

Pemilik kelab itu boleh dilepaskan daripada hukuman penjara sekiranya dia berjaya melakukan bayaran penuh.

“Dia (pemilik kelab) itu boleh dikeluarkan dari penjara jika ada bayaran penuh. Contohnya, hari kedua di penjara, dia melakukan bayaran penuh RM 1.5 juta, maka dibebaskan serta-merta. Syarat dia mesti bayaran penuh dan tak boleh kurang dari jumlah itu.

“Untuk kes ini, dalam tahun pertama 2022 sehingga 2023, banyak perbincangan berlaku dan apa yang kita peroleh sekitar RM 500,000 sahaja. Yang mana jumlah tunggakan pada ketika itu adalah RM 3 juta ringgit.

“Di dalam saman sivil, kita ada satu proses iaitu proses pelaksanaan iaitu saman komital yang mana kita boleh penjarakan defenden di atas penghinaan kepada perintah mahkamah yang melampau tetapi proses penjara ini perlu ikut fakta kes tertentu,” katanya.