Bekas penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meminta agar bekas majikannya iaitu United segera menyelesaikan tunggakan gaji enam bulan yang masih belum selesai sehingga saat ini.

Norshahrul atau yang lebih mesra dengan panggilan Matyo berkata demikian menerusi laman media sosial Instagram miliknya dimana beliau masih menunggu Melaka melangsaikan tunggakan gajinya ketika bergelar pemain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Melaka United, IG saya pun dah dapat balik. Gaji yang tertunggak enam bulan tu agak-agak bila nak dapat balik?

“Lama tunggu, bayarlah hutang. Banyak kerugian isteri dan anak-anak alami. Tak baik aniaya orang. Bila nak bayar tu? Enam bulan bukan enam minggu tapi enam bukan tak bergaji. Kerja pergi kerja, gaji tak nak bayar?

“Macam ni anda bela nasib pemain yang pernah berbakti kepada negara? Awal-awal tahun 2022 dah lewat bayar lepas tu sikit-sikit pula,” kata Norshahrul.

Ekoran isu tunggakan gaji, Melaka bersama satu lagi pasukan iaitu Sarawak United ditendang keluar dari saingan Liga Malaysia sekaligus tidak dibenarkan beraksi bagi saingan musim 2023.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka baru-baru ini berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan agar Melaka dibenarkan kembali beraksi di Liga Super.

Bagaimanapun, tidak dinyata dengan jelas sama ada Melaka United atau Melaka FC yang akan menjadi wakil Melaka dalam liga tertinggi bola sepak negara itu.

Keperluan kriteria untuk mengisi slot Liga Super ini masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa M3 AFL dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan TRW Kelantan yang turut ditendang ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan itu.