Melaka mungkin kembali ke kancah saingan divisyen utama Liga Malaysia selepas Malaysia Football League (MFL) umum akan membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab M3 Amateur Football League (AFL) untuk memohon lesen menyertai Liga Super 2024-2025.
Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.
Baca Juga:
- Rayuan Kelantan Ditolak, Tak Layak beraksi Liga Super 2024-25
- Jumlah Habuan Yang Diterima Pasukan Liga Super 2023
- TRW Kelantan Cipta Sejarah Pasukan Pertama Bolos Lebih 100 Gol Dalam Liga Super
Justeru MFL telah meminta semua kelab M3 AFL yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024.
MFL mengumumkan bahawa badan pengelola liga bola sepak profesional negara itu akan membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada semua kelab M3 Amateur Football League (AFL) untuk memohon lesen menyertai Liga Super 2024-2025.
Baca lanjut 👇https://t.co/PIYP0jUKBJ pic.twitter.com/xEZZ4bBq15
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 18, 2024
Melaka antara pasukan yang telah menunjukkan minat untuk kembali saingan Liga Super.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka baru-baru ini berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan agar Melaka dibenarkan kembali beraksi di Liga Super.
Bagaimanapun, tidak dinyata dengan jelas sama ada Melaka United atau Melaka FC yang akan menjadi wakil Melaka dalam liga tertinggi bola sepak negara itu.
Keperluan kriteria untuk mengisi slot Liga Super ini masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa M3 AFL dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.
MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.