Bekas penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menegaskan beliau belum bersara dari dunia bola sepak profesional sekaligus menafikan khabar angin yang beredar di media sosial baru-baru ini.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, pemain yang mesra disapa Matyo ini menegaskan beliau belum bersara kerana bola sepak bagaikan nadi bagi dirinya.

Baca Juga:

“Saya tak bersara dari dunia bola sepak. Bola sepak ialah nadi saya. Seni saya. Selamat malam dunia tipu-tipu,” tulisnya.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom menyatakan Matyo telah menandatangani kontrak bersama salah sebuah pasukan berpusat di Lembah Klang bagi mengendalikan skuad B-23 Tahun pasukan itu.

Akan tetapi, beliau tidak memberitahu nama pasukan yang disertai oleh Norsahahrul dan sama ada pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Super ataupun Liga A1 Semi Pro yang sebelum ini dikenali dengan nama Liga M3.

Musim lalu, Norshahrul beraksi bersama Harini FT dimana sebelumnya beliau menyarung jersi Melaka United pada 2022.

Sepanjang kariernya, Matyo pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sebanyak 83 kali dan menjaringkan 14 gol dari 2007 hingga 2021.

Selain itu, beliau juga pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama dalam negara seperti Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sri Pahang dan juga kelab Thailand iaitu BG Pathum United pada 2020.