Penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) menerima perkhabaran gembira apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan isu tunggakan gaji pasukan itu sudah selesai sebelum tarikh akhir.

“Badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini mengesahkan bahawa kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 20 April 2024 jam 5.00 petang.

Baca Juga:

“Berdasarkan surat bertarikh 18 April 2024 serta dokumen pembayaran yang telah diserahkan kepada MFL yang kemudiannya disemak oleh FIB, KDA FC telah berjaya melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun,” kata kenyataan rasmi MFL.

Bagaimanapun terdapat dua pemain yang masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Andrew Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis.

Namun kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC bagi membolehkan KDA FC kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.

FIB bagaimanapun mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024 sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024.