Salah sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024/25 dilaporkan sudah mula menghadapi masalah untuk membayar gaji pemain.
Isu yang sudah menjadi barah dalam arena bola sepak tanah air ini masih gagal untuk diselesaikan dan saingan musim ini yang baru sahaja bermula sudah menunjukkan ada pasukan yang berdepan masalah kewangan.
Baca Juga:
- ‘Angin Bertiup Kencang’, Sabah Turut Hadapi Masalah Tunggakan Gaji
- Perpisahan Tanpa Kerelaan, PSG Belum Bayar Gaji Dan Bonus Mbappe
- Gaji Pengurus Dan Pemain Manchester United Dipotong
Baru-baru ini, pasukan Sabah dilihat masih gagal untuk melepaskan diri dari perkara itu selepas pendedahan yang ditunjukkan oleh salah seorang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Khairul membalas satu komen dimana beliau mengatakan sudah lama tidak dibayar dan perkara ini terus menjurus kepada isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan Liga Super itu.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan pemain Sabah belum menerima gaji sebanyak empat bulan selepas pemain seperti Saddil Ramdani dan Farhan Roslan dilihart meraikan jaringan ketika bertemu PSIS Semarang dalam satu kejohanan pra musim dengan menunjukkan isyarat empat jari.
Sehubungan dengan itu, Mohd Joh Wid yang merupakan Pengurus Besar Sabah menegaskan bahawa spekulasi itu hanyalah bersifat ‘serkap jarang’ dan keadaan tidak seburuk disangka.
“Saya tidak akan menjawab tuduhan mengenai perkara ini (masalah pembayaran gaji) kerana ia akan memanjangkan lagi isu, bukannya meredakan apa yang dibangkitkan itu.”
“Apa yang saya boleh katakan, gaji pemain akan tetap dibayar dan saya mahu sebut situasi Sabah ketika ini tidak seteruk seperti apa yang dicakap (digambarkan) di media sosial itu.”
“Saya tidak mahu akan timbul lagi polemik lain jika saya menjawab perkara itu,” katanya.