Isu tunggakan gaji terus menghantui saingan Liga Malaysia dimana sebuah kelab yang berpangkalan di utara tanah air dilaporkan gagal membayar gaji pemain sejak awal musim ini.
Masalah tunggakan gaji ini bukanlah perkara baru dalam saingan Liga Malaysia dimana musim ini sahaja terdapat beberapa pasukan seperti Kuala Lumpur City yang baru-baru ini dilaporkan menghadapi isu sama.

Baca Juga:
- Safee Sali Sokong Tindakan Paulo Josue Bersuara Mengenai Isu Gaji
- 7 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Tonggak KL City Jadi Rebutan
- Ini Jumlah Keseluruhan Gaji Diterima Oscar Selepas Tinggalkan Chelsea
Menurut laporan Majoriti, salah satu kelab yang berpangkalan di utara tanah air tidak membayar gaji pemain sejak saingan Liga Super musim ini bermula.
“Daripada mula liga masih tak dapat (gaji) lagi, dah dalam tiga atau empat bulan, tetapi pemain-pemain masih boleh beri sesuatu lagi. Tapi ura-ura untuk pemain import tamatkan kontrak seperti pasukan lain tiada lagi meskipun gaji tidak berbayar.
“Mungkin walaupun tidak dapat gaji mereka masih mendapat duit untuk makan untuk teruskan rutin harian. Namun begitu, pihak pengurusan pun dikatakan sedang bergolok bergadai untuk menyelesaikan tunggakan tersebut,” katanya.
Ketua pasukan KL City, Paulo Josue mendedahkan menegaskan kali terakhir beliau menerima gaji ialah pada bulan Disember tahun lalu dan bukan beliau saja yang berdepan dengan kesukaran dimana rakan sepasukan turut berdepan isu sama.

“Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar pada Disember tahun lalu.
“Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.
“Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mengulas perkara ini dimana beliau menyatakan permainan politik sesetengah pihak menjadi punca mengapa skuad ibu kota itu berada dalam situasi terumbang-ambing.
“Kita telah minta wang dari penaja utama kita iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum saingan musim ini bermula. Akan tetapi saya mendapat maklumat bahawa wang tidak akan diserahkan selagi saya bergelar presiden KLFA.
“Maka dengan itu, pada bulan Mac saya telah letak jawatan sebagai presiden. Langkah ini saya ambil kerana nak pastikan duit masuk, gaji pemain dibayar dan lesen kelab tidak ditarik balik.
“Kemudian surat sokongan penuh dari DBKL dikeluarkan dan selepas itu duit sebanyak RM3 Juta dimasukkan untuk selesaikan gaji musim lepas. Bukan gaji untuk tahun ini.
“Hingga saat ini, kelab belum dapat walaupun satu sen dari mereka. Saya dimaklumkan bahawa ada individu yang mahu menjadi presiden, tidak mendapat jawatan itu.
“Dan selagi mana Encik X ini tidak menjadi presiden, satu sen pun tidak akan diberikan kepada kelab. Atas sebab kepentingan politik, maka suasana dalam KL City menjadi semakin muram,” kata Khalid Samad.