Dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuala Lumpur (KL) City masih bergelut dengan masalah tunggakan gaji ketika musim baharu Liga Malaysia bakal membuka tirainya tiga bulan lagi.

Malah, pemain Kedah terpaksa bekerja sambilan di restoran sebagai pencuci pinggan dan ada yang turut bekerja di kantin sekolah demi mencari duit untuk menyara hidup.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Situasi itu didedahkan oleh Arena Metro yang melaporkan tunggakan gaji pemain Kedah masih sangkut selama empat bulan. Bukan saja skuad senior yang beraksi di Liga Super tidak dibayar gaji, ia turut dialami pasukan bawahan kelab itu.

“Tak ada (gaji tak bayar lagi). Selepas media dedahkan pasal isu ini awal bulan ini, pengurusan masih senyap saja. Tak ada apa-apa berita pasal tunggakan gaji.

“Ramai pemain tak tahu nak buat apa. Saya dengar, ada pemain kerja di kantin sekolah. Ada juga pemain Piala Presiden dan Belia buat kerja cuci pinggan di kedai,” kata sumber Arena Metro.

Sementara itu, pemain  KL City yang tidak didedahkan namanya mengakui kecewa apabila terpaksa meminta bayaran tunggakan gaji daripada pengurusan pasukan setiap bulan seperti seorang pengemis.

“Kami ini dah macam pengemis pula meminta duit daripada mereka padahal itu hak kami.

“Bila tanya mereka selalu berjanji untuk menyelesaikan tapi sampai sekarang dah nak masuk bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang lagi. Saya pun ada kehidupan sendiri dan ada keluarga untuk di sara.

“Sebelum ini gaji tertunggak empat bulan, tapi selepas dikeluarkan di media pada bulan lalu mereka ada bayar untuk sebulan (bayaran gaji September 2023). Tapi selepas itu mereka senyap dan masih lagi tertunggak tiga bulan,” katanya kepada Arena Metro.