Pemilik kelab Melaka United FC (MUFC) berpotensi menerima hukuman penjara selepas satu pendengaran kes mengenai perbicaraan taksiran ganti rugi pemain MUFC telah dijalankan di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka semalam.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang menyaksikan bekas pemain, Hasbullah Abu Bakar hadir mewakili 17 pemain MUFC.

Baca Juga:

“Setelah keterangan diberikan oleh saksi, Mahkamah telah memberikan arahan lanjut kepada pihak Plaintif untuk memfailkan afidavit ke Mahkamah bagi tujuan penelitian dan taksiran akhir oleh Yang Arif Hakim

“Mahkamah juga telah menetapkan tarikh pada 18 Mac 2024 sebagai klarifikasi serta keputusan untuk taksiran ganti rugi tersebut.

“PFAM sangat komited dalam memperjuangkan dan membantu komuniti pemain bola sepak profesional secara keseluruhan dari segi kebajikan serta pembangunan pemain agar hak pemain akan terus terbela,” tulis PFAM dalam kenyataan rasmi.

Difahamkan tunggakan gaji para pemain MUFC sehingga kini masih belum dilunaskan walaupun banyak kali peringatan telah diberikan.

Sikap pengurusan pasukan tersebut berdiam diri membuatkan beberapa bekas pemain hilang sabar dan terpaksa memilih mahkamah sebagai jalan terakhir.

Apakah pemilik MUFC bakal menjadi individu kedua yang ke penjara selepas peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United yang bergelar Datuk Seri dikenakan hukuman penjara selama 7 hari.

Ini adalah kes saman sivil pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia yang membabitkan pemilik kelab.