Pelumba motosikal negara, Muhammad Syarifuddin Azman atau mesra dengan panggilan ‘Damok’ meluahkan kekecewaannya selepas terpaksa memulakan saingan Moto3 Grand Prix Malaysia 2023 esok di petak terakhir.

Kekecewaan itu jelas sukar dibendung apatah lagi beliau berlumba di hadapan ribuan peminat motosikal tanah air.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pelumba pasukan MT Helmets – MSI itu hanya mampu  mencatatkan masa dua minit 13.499 saat, ketinggalan 0.290 di belakang Joshua Whatley (VisionTrack Racing Team).

“Pada sesi FP3 tadi, pasukan saya ada membuat perubahan pada jentera tetapi saya masih berasa sama. Jadi, saya tidak dapat serasikan diri pada jentera dengan baik.”

“Sewaktu sesi kelayakan, pasukan saya membuat perubahan yang besar pada jentera dan ada peningkatan yang baik daripada sebelum ini cuma masih ada sedikit ‘setup’ yang perlu kami perbaiki lagi.”

“Saya kurang gembira dengan keputusan sesi pada minggu ini. Ini adalah ‘home race’ saya, jadi agak kecewa kerana tidak dapat tunjukkan prestasi yang baik di depan semua peminat.”

“Saya harap kami akan dapat ‘setup’ yang lebih baik esok yang akan membuatkan saya lebih yakin dengan jentera dan peroleh keputusan yang baik,” ujar Damok menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing.

Sesi kelayakan yang diadakan petang tadi menyaksikan pendahulu keseluruhan, Jaume Masia (Leopard Racing) berada di petak pertama selepas mencatatkan masa dua minit 10.846 saat.

Manakala, Collin Veijer dari Liqui Moly Husqvarna Intact GP berada di kedudukan kedua dengan dua minit 11.752 saat.