Menamatkan saingan Grand Prix Malaysia 2023 di kedudukan kedua nyata sudah cukup buat Pedro Acosta untuk mengesahkan kejuaraan dunia Moto2 menjadi milik beliau.

Acosta, 19 tahun dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan 320.5 mata, meninggalkan Tommy Arbolino yang mengumpul 243.5 dan Jake Dixon mengutip 183 mata.

Baca Juga:

Pemenang perlumbaan yang diadakan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang itu dimenangi oleh pelumba Beta Tools SpeedUp, Fermin Aldeguer dengan catatan masa 36 minit 04.378 saat.

Ia menyaksikan Acosta yang menunggang jentera Red Bull KTM Ajo ketinggalan 7.128 saat berbanding pelumba berusia 18 tahun itu.

Peringkat awal perlumbaan menyaksikan Manuel Gonzalez dari Correos Prepago Yamaha VR46 Master Camp Team bermula dengan baik dan berjaya memimpin pelumba-pelumba lain.

Aldeguer cemerlang ungguli perlumbaan di Sepang. Kredit Foto: Amer Moose I The Vocket

Namun ketika memasuki selekoh kedua, beliau mengalami kemalangan selepas terdapat sentuhan bersama Aldeguer.

Aldeguer nyata cukup bernasib baik selepas beliau tidak mengalami sebarang dan seterusnya meninggalkan Pedro Acosta.

Ruang dimiliki jelas digunakan sebaiknya oleh pelumba dari Sepanyol tersebut untuk meninggalkan pesaingnya yang lain sekali gus mendominasi perlumbaan ini.

Sementara itu, Marcos Ramírez dari OnlyFans American Racing melengkapkan senarai tiga pelumba yang menaiki podium dengan kedudukan ketiga dengan ketinggalan 9.558 saat.

Pelumba ‘wild card’ negara yang menunggang Petronas MIE Racing RW, Helmi Azman menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23 manakala rakan sepasukannya, Azrooy Hakeem Anuar pula gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami kemalangan.