Harga barang komoditi dan servis kian meningkat pada saban hari, jadi logiklah tingkat gaji yang ditawarkan buat graduan perlu relevan dengan keadaan semasa.

Bagaiamanpun, laporan FMT mendedahkan bagaimana nasib graduan yang mahu mendapatkan pekerjaan di negeri kelahirannya di Sabah namun hanya dibalas dengan kehampaan.

Gaji minimum dianggap terlalu tinggi

gaji
Sumber Gambar: Geng borak

Hal ini kerana permintaan untuk mendapatkan gaji RM1,800 sebulan dianggap terlalu tinggi.

Situasi itu menyebabkan Norashikin mengambil keputusan untuk berpindah ke Semenanjung Malaysia, di mana peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai kelayakan dan kemahiran sepertinya lebih terbuka luas.

“Saya ada ijazah dalam pengurusan teknologi, tetapi mereka tidak peduli dengan kelayakan saya,” katanya kepada FMT.

Apa yang dialami Norashikin bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hal ini kerana data Jabatan Perangkaan memperlihatkan perniagaan di Sabah antara yang menawarkan gaji terendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Gaji
Sumber Gambar: Global Castaway

Demi mencari pendapatan yang lebih baik, ramai penduduk Sabah akhirnya memilih untuk berhijrah ke Semenanjung Malaysia.

Menurut kumpulan perniagaan, kebanyakan syarikat di Sabah adalah kecil dan mempunyai kekangan kewangan, yang menyukarkan mereka untuk menawarkan gaji yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Statistik rasmi menunjukkan purata gaji pada Mac 2023 ialah RM4,858 sebulan di Putrajaya, RM4,521 di Kuala Lumpur dan RM3,885 di Selangor. Sebaliknya, di Sabah, purata gaji hanya sekitar RM3,127 sebulan.

Christina Tee, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, menyatakan bahawa kebanyakan perniagaan di Sabah adalah perniagaan keluarga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih fokus kepada pasaran tempatan.

“Ini bermakna mereka mempunyai sumber terhad untuk menawarkan gaji kompetitif seperti di Semenanjung,” katanya kepada FMT

Menurut Foo Ngee Kee, Presiden Persatuan PKS Sabah, kos operasi perniagaan di Sabah meningkat akibat gangguan bekalan elektrik dan air yang sering berlaku, infrastruktur pengangkutan yang lemah, serta kurangnya hubungan dengan negeri lain dan pasaran antarabangsa.

“Keuntungan yang rendah, ditambah dengan kos operasi dan pengeluaran yang tinggi, mengehadkan kemampuan syarikat di Sabah untuk membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja mereka,” katanya.

Jadi, mereka bersetuju bahawa faktor-faktor ini telah menyukarkan syarikat untuk berkembang pesat apatah lagi mengekalkan tenaga kerja mahir.

Madeline Berma, seorang pakar ekonomi, berpendapat bahawa ketidakstabilan politik dan infrastruktur yang kurang baik adalah antara faktor utama yang menghalang perniagaan di Sabah daripada menawarkan gaji yang lebih kompetitif.

Madeline Berma dari Institut Masa Depan Malaysia menyatakan bahawa negeri-negeri yang lebih maju menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi berbanding negeri yang kurang maju.

“Selain faktor politik, kelewatan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo telah menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya kepada FMT.

Norashikin berpendapat, keputusannya untuk berpindah ke Kuala Lumpur membuahkan hasil. ‘Saya berjaya mencapai kestabilan kerjaya dan kewangan yang lebih baik di sini,’ katanya.