Pep Guardiola mengakui beliau berasa malu untuk menolak tawaran menjadi ketua jurulatih Itali. Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu tidak menolak kemungkinan kembali melatih pada masa hadapan, malah menyatakan hasrat untuk mengendalikan sebuah pasukan kebangsaan.

Dalam temu bual bersama legenda Brazil dan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Romario, menerusi rancangan Romario TV pada Selasa, Guardiola mendedahkan beliau menolak tawaran Itali kerana memerlukan masa untuk berehat selepas meninggalkan Manchester City.

Guardiola mengakhiri tempoh 10 tahun bersama City dari 2016 hingga 2026 dengan pencapaian luar biasa. Beliau menghadiahkan enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala FA dan satu trofi Liga Juara-Juara.

Namun, tempoh panjang mengendalikan pasukan di peringkat tertinggi itu menyebabkan beliau keletihan sehingga mengambil keputusan untuk berehat sekurang-kurangnya setahun.

Selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, Persekutuan Bola Sepak Itali mula mencari pengendali baharu.

Dalam proses itu, dua tokoh terkenal, Paolo Maldini dan Leonardo, ditugaskan untuk menghubungi Guardiola bagi mendapatkan kesediaannya mengambil alih skuad Azzurri.

Guardiola mengesahkan beliau memang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua individu tersebut.

“Ini kali pertama saya bercakap mengenai perkara ini, tetapi ya, saya memang ada berbincang dengan mereka.

“Saya berasa malu untuk mengatakan tidak kepada Itali. Sebuah negara seperti Itali, ia pasti menjadi salah satu penghormatan terbesar dalam karier saya sekiranya dapat melatih pasukan kebangsaan mereka.

“Tetapi saya sedar bahawa saya perlu berhenti seketika. Jika mereka menghubungi saya dua tahun lebih awal, mungkin saya akan menerimanya.

“Namun, apabila Paolo Maldini dan Leonardo, dua individu yang sangat saya sayangi, menghubungi saya, ia berlaku pada waktu saya benar-benar perlu berhenti.

“Saya perlukan sedikit masa untuk diri sendiri. Selepas 18 tahun menjadi jurulatih, dengan perlawanan setiap tiga hari, minggu demi minggu, akan tiba satu tahap apabila kita hanya mampu berkata, fuh,” kata Guardiola.

Itali akhirnya melantik Roberto Mancini, yang pernah mengendalikan pasukan itu dari 2018 hingga 2023 dan membantu mereka menjuarai Euro 2020.

Dalam temu bual sama, Guardiola turut tidak menolak kemungkinan kembali ke dunia kejurulatihan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kepulangannya nanti bergantung kepada keadaan dan sama ada terdapat pasukan yang benar-benar mahukan khidmatnya.

Menariknya, Guardiola mengakui ada satu cabaran yang masih belum pernah dirasainya sepanjang karier kejurulatihan, iaitu mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Saya tidak tahu di mana, tetapi jika ada satu pasukan yang saya tidak pernah latih dan saya mahu latih, ia adalah pasukan kebangsaan.

“Dan itulah langkah seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, nama Guardiola turut dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Amerika Syarikat selepas Mauricio Pochettino meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Manchester United.

Malah, Pochettino sendiri pernah menyifatkan peluang untuk Guardiola mengambil alih skuad Amerika Syarikat sebagai detik yang sangat sesuai.

Namun, buat masa ini Guardiola menegaskan beliau selesa berehat daripada tugas kejurulatihan.

“Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya benar-benar tidak tahu. Tetapi buat masa ini, saya baik-baik sahaja.

“Jika saya kembali suatu hari nanti, ia kerana naluri saya memberitahu bahawa sudah tiba masanya, dan kerana ada pihak yang mahukan saya. Ketika itu, saya akan kembali.

“Tetapi sudah terlalu banyak tahun berlalu, terlalu banyak perlawanan,” katanya.