Penjaga gol Tottenham Hotspur, Guglielmo Vicario tidak menghiraukan kesakitan dialami ketika membantu pasukannya menewaskan Manchester City 4-0 di Etihad Stadium pada minggu lalu.
Menurut sumber kenyataan dikeluarkan di laman Instagram peribadinya, penjaga gol kelahiran Itali itu sebenarnya beraksi selama sejam dalam keadaan buku lalinya yang patah.
Baca Juga:
- Sedut ‘Gas Ketawa’, Tottenham Hotspur Gantung Yves Bissouma
- Google Dalam Rundingan Bersama Tottenham Dapatkan Hak Nama Stadium Bernilai RM1.1 Bilion
- Kerana ‘Malaysian Rendang’ Laman Twitter Tottenham Hotspurs Diserang Peminat Indonesia
Vicario menerima rawatan pada penghujung separuh masa pertama dan kembali semula dengan berjalan terhencut-hencut selepas waktu rehat.
Walaupun berada dalam keadaan kesakitan, Vicario masih berjaya membantu pasukannya dengan membuat tiga penyelamatan pada separuh masa kedua.
Aksi cemerlang yang sekali gus meranapkan impian The Cityzens untuk bangkit mendapatkan jaringan pada separuh masa kedua.
“Kadang-kadang bola sepak memberi kita detik kegembiraan dan kadang-kadang ia mencabar kita dengan cara yang tidak dijangka.”
“Saya bermain selama 60 minit di Etihad dengan tulang buku lali yang patah, memberikan segala yang saya ada untuk pasukan.”
“Malangnya, tiada jalan lain untuk mengelakkan perkara ini… Saya perlu menjalani pembedahan. Saya kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan buat sementara waktu.”
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada doktor dan staf. Pembedahan berjalan lancar, dan mulai esok saya akan bekerja keras untuk kembali lebih kuat, lebih cergas, dan bersedia untuk memberikan segalanya untuk anda semua lagi.”
“Terima kasih kepada peminat Spurs atas segala kasih sayang. Jumpa lagi di padang,” tambah Vicario lagi.
Dalam perkembangan sama, satu kenyataan yang dimuat naik di X pada malam Isnin, Spurs menulis: “Kami mengesahkan bahawa Guglielmo Vicario telah menjalani pembedahan hari ini akibat patah buku lali kanannya.”
“Guglielmo akan dinilai oleh kakitangan perubatan kami untuk menentukan bila beliau boleh kembali menjalani latihan. Kami semua dibelakang kamu, Vic.”
Menyertai Tottenham Hotspur pada 27 Jun 2023, Vicario beraksi dalam kesemua 38 perlawanan English Premier League (EPL) 2023/24 dan turut tidak keciciran sebarang minit pada musim ini.
Dengan ketiadaan penjaga gol berusia 28 tahun itu, gawang Tottenham Hotspur berkemungkinan besar bakal dikemudian penjaga gol berpengalaman, Fraser Forster.
Selepas mengharungi 12 perlawanan liga setakat ini, Tottenham yang dibimbing Ange Postecoglou itu menghuni tangga keenam dengan 19 mata hasil enam kemenangan, satu keputusan seri dan lima kekalahan dialami.