Selain mengharapkan Tottenham Hotspur dapat menewaskan Manchester City pada awal pagi esok, penyokong Arsenal turut mempunyai rancangan mereka yang tersendiri untuk mengganggu mental skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Seperti dilaporkan media barat, sekumpulan penyokong Arsenal cuba bertindak untuk mengganggu waktu tidur pemain skuad The Cityzens di hotel penginapan pasukan tersebut.

Baca Juga:

Kira-kira jam 2.00 pagi waktu di sana, kumpulan yang dikenali sebagai The Ashburton Army melepaskan bunga api di kawasan sekitar Hotel Marriot di Waltham Abbey, London.

Kumpulan tersebut juga dilihat membuat satu ciapan di laman X mereka yang berbunyi,”Oh, kawan, saya menikmati tidur malam yang nenyak. Harap anda semua juga begitu.”

Mereka beranggapan bahawa Guardiola dan anak-anak buahnya sudah berada dalam hotel tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan penting itu.

Hal ini kerana difahamkan bas pasukan juara bertahan tersebut juga sudah kelihatan di hotel itu.

Namun menurut sumber laporan Goal dan salah seorang peminat Tottenham Hotspur, Craig Pankhurst mengatakan kem Manchester City sebenarnya masih belum sampai.

Wartawan bola sepak BBC, Simon Stone turut mengesahkan para pemain dan barisan kejurulatihan Manchester City hanya akan berlepas ke London pada pagi waktu tempatan.

Ini bermakna tindakan para penyokong Arsenal yang cuba mengganggu waktu rehat dan tidur pemain Manchester City adalah sia-sia sahaja.

Arsenal pada ketika ini amat mengharapkan ihsan daripada Tottenham untuk menundukkan Manchester City bagi mencerahkan lagi peluang mereka bagi muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24.