Seorang penggodam menyatakan beliau bersedia untuk mendedahkan semua dokumen sulit kepada pihak berkuasa mengenai salah laku yang dilakukan oleh Manchester City.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berdepan dengan 115 pertuduhan yang mengatakan kelab itu melanggar peraturan dibawah Financial Fair Play (FFP) dimana mereka didakwa telah melakukan kesalahan sejak 9 tahun lalu dimana kebanyakannya melibatkan perpindahan pemain.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Centre Goal di laman X, penggodam berkenaan yang dikenali sebagai Rui Pinto telah mendedahkan semua dokumen sulit kepada pihak berkuasa di Jerman dan Perancis yang mana beliau yakin kesemua dokumen yang diberikan bakal menjadikan City sebagai pesalah.

Pada 2018, Pinto pernah membuat pendedahan kepada pihak berkuasa mengenai email dan juga beberapa butiran mengenai bekas pengurus kelab itu, Roberto Mancini dan bekas pemain iaitu Yaya Toure.

Pinto, yang telah berada dalam program perlindungan saksi sejak 2020, memberitahu Persidangan Marbella OffShore-Alert melalui video dari rumah selamatnya: “Pendedahan kali ini menunjukkan Man City memberikan jumlah wang yang dibayar oleh kelab yang tidak disebut kepada bola sepak pihak berkuasa.

“Dokumen ini merupakan sebahagian daripada siasatan Liga Perdana terhadap City. Saya kini telah menyerahkan lima cakera keras kepada pihak berkuasa Perancis dan Jerman dengan berjuta-juta dokumen, termasuk lebih banyak tentang City dan saya telah menerangkan apa yang ada pada setiap satu.

“Saya yakin mereka akan mendapati kaitan jenayah yang melibatkan kelab itu,” katanya.

Pinto turut mendedahkan bahawa dia telah menerima ugutan bunuh dari orang yang tidak dikenali sejak membuat pendedahan dan menjelaskan bahawa beberapa kelab sedang mencari untuk mendapatkan maklumat mengenai kehidupan penggodam itu.

“Saya tahu bahawa sekumpulan kelab bola sepak Eropah sedang menyiasat mengenai saya. Mereka bertemu di London dan sangat bimbang tentang kebocoran baru. Mereka sedang mencari untuk mengumpul maklumat tentang hidup saya,” tambahnya.

Pendedahan Pinto sebelum ini menyaksikan City digantung daripada bola sepak Eropah selama dua tahun, namun penggantungan itu berjaya dibatalkan, dan kelab itu dikenakan denda £25 juta.

Anda boleh lihat senarai penuh kesalahan yang didakwa telah dilakukan oleh Manchester City di sini.