Empat individu termasuk seorang lelaki dan tiga wanita telah dikenakan hukuman denda RM500 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, atas tindakan yang disifatkan sebagai gopoh dan membahayakan keselamatan serta nyawa orang lain.

Insiden yang tular di media sosial itu menarik perhatian pihak berkuasa dan orang ramai apabila mereka memuat naik video perbuatan tersebut.

Majistret Nadhratun Naiem Zainan, dalam prosiding di Mahkamah Majistret Bentong hari ini, mengajukan soalan kritikal kepada tertuduh, “Bagaimana awak semua boleh terfikir untuk memasak di stesen minyak? Awak tak fikir ke di bawah itu ada tangki minyak? Lepas itu muat naik dalam media sosial,” katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!

Tertuduh yang merupakan ejen hartanah, Nur Azira Azman, 23; Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, peniaga kedai makan; Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, pegawai khidmat pelanggan; dan Nur Anis Salleh, pembantu pergigian, masing-masing berusia 24 tahun, telah mengaku bersalah dan meminta agar denda dikurangkan kerana mereka perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik selain ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Fadhli Zil Ikram mengakui di mahkamah bahawa mereka pada awalnya merancang untuk memasak di tempat lain yang telah penuh dan bertindak memasak di stesen minyak kerana beranggapan tempat mereka itu jauh dari nozel minyak.

Sementara itu, Nur Fatin Irdina menjelaskan bahawa tindakan mereka adalah secara rawak kerana lapar tanpa memikirkan bahaya yang boleh timbul.