Polis mengesahkan video tular memaparkan pergaduhan membabitkan pengguna jalan raya termasuk ada yang dilihat menggunakan tongkat kayu, berlaku di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Pagoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya turut menerima satu laporan polis mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.58 petang.

Baca Juga:

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan warga asing dengan rakyat tempatan, dengan satu video berdurasi 54 saat turut dikesan dimuat naik di media sosial berhubung pergaduhan terbabit.

Berdasarkan video terbabit, insiden berlaku ketika lebuh raya sesak membabitkan lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer dengan pemandu Toyota Innova dipercayai warga tempatan.

Pemandu Mitsubishi dilihat cuba melanggar seorang lelaki sebelum keluar dari kenderaan sambil membawa tongkat kayu dan cuba memukul pemandu Toyota Innova.

Bagaimanapun, insiden itu dileraikan pengguna jalan raya lain yang kebetulan berada di lokasi.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, pihak polis mendapati punca kejadian adalah akibat ketidakpuasan hati suspek kerana dihalang menggunakan laluan kecemasan. Kes disiasat di bawah seksyen 427 Kanun keseksaan yang mana boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tindakan mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Sumber