Bekas pemain tengah, Dietmar Hamann mendesak pengurus Portugal, Roberto Martinez supaya berhenti daripada terlalu mengharapkan kepada Cristiano Ronaldo.

Pada usia 40 tahun, Ronaldo masih menjadi pilihan utama Martinez dalam mengemudi jentera serangan Portugal di pentas antarabangsa.

Baca Juga:

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Hamann berpendapat bintang Portugal itu sudah tidak mempunyai pengaruh besar untuk membawa pasukannya muncul juara Piala Dunia 2026.

Beliau berharap Portugal akan berani mengambil langkah berani untuk memberi peluang kepada generasi baru dan fokus pada masa depan tanpa bergantung kepada Ronaldo.

Sehubungan dengan itu, Hamann yang cemerlang ketika bersama Liverpool merasakan sudah tiba masanya buat Martinez untuk memberikan kepercayaan terhadap pemain lain sebagai penyerang utama Portugal.

“Pengaruh Cristiano Ronaldo sangat terbatas pada kejohanan Euro yang lepas dan saya fikir anda harus ingat di Piala Dunia nanti, dia akan setahun lebih tua.”

“Dia masih menjaringkan gol tetapi mereka memiliki penyerang bagus seperti Goncalo Ramos yang tidak mendapat peluang untuk beraksi.”

“Saya berfikir sudah tiba masanya bagi orang lain mendapat peluang untuk bersinar dalam pasukan ini.”

“Jika kita melihatkan di Piala Dunia, saya akan sangat terkejut sekiranya Ronaldo memiliki impak yang besar buat pasukan,” ujar Hamann menurut sumber laporan Goal Indonesia.

Pendapat Hamann ini menambahkan lagi perbincangan mengenai masa depan Ronaldo dalam skuad kebangsaan dan bagaimana Portugal perlu mengatur persiapan untuk kejohanan besar di masa depan.