Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) lebih baik dan sedia untuk digunakan bagi perlawanan antara skuad kebangsaan menentang pasukan Kyrgyzstan dalam saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November ini.

Datuk Hamidin berkata demikian dalam satu sidang media baru-baru ini dimana beliau sudah membuat pemeriksaan terhadap kualiti padang pada minggu lalu dan berpendapat padang sudah sedia untuk digunakan bagi perlawanan Khamis ini.

Baca Juga:

“Saya dah lihat pada minggu lalu, keadaannya bukanlah grade A tetapi lebih baik berbanding sebelum ini. Memang bagus dan sedia untuk digunakan. Untuk makluman tiada sesi latihan yang akan diadakan di SNBJ. Kedua-dua pasukan menggunakan venue lain untuk berlatih. Saya jangka keadaan padang berada di tahap 70 hingga 80 peratus, lebih baik berbanding apa yang kita lihat semasa kejohanan Pestabola Merdeka 2023,” katanya.

Sebelum ini, keadaan padang Stadium Nasional menjadi sorotan apabila ada bahagian yang tercabut ketika perlawanan pasukan negara menentang India dan Tajikistan bulan lalu.

Pada masa yang sama, Datuk Hamidin menekankan bahawa saingan kelayakan kali ini adalah lebih penting berbanding temasya Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 nanti kerana pasukan negara bakal mendapat banyak kelebihan sekiranya berjaya mara sehingga ke saingan pusingan ketiga kelayakan.

“Saingan Piala Asia di Qatar bukanlah sesuatu yang tidak mustahak kerana setelah 42 tahun menunggu dan kita sudah layak dan. Satu kejayaan apabila pasukan negara bermain di sana.

“Namun, jika dapat layak ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, kita boleh cipta sejarah iaitu pasukan kita dapat jadi 18 pasukan terbaik dan bermain 10 perlawanan bertaraf dunia, di halaman sendiri dan juga tempat lawan,” katanya.

Datuk Hamidin juga meminta kepada pemain ke-12 agar hadir sekaligus membanjiri SNBJ sekaligus memberi sokongan padu kepada para pemain yang akan turun beraksi dalam saingan kelayakan bermula pada 16 November ini. Ketika artikel ini ditulis, sebanyak 4911 keping tiket telah terjual.