Sektor perniagaan merupakan antara yang terjejas teruk dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan situasi COVID-19 sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Arahan sebelum ini yang tidak membenarkan kedai-kedai beroperasi ini bukan sahaja memberi kesan buat mereka dari sudut kewangan tetapi turut menimbulkan masalah dalam pengurusan barangan inventori atau produk-produk jualan.
Bukan sahaja barangan segar atau makanan yang menjadi mangsa dek kerana sifat mereka yang cepat rosak namun pakaian dan aksesori seperti beg tangan dan kasut juga turut menerima nasib yang hampir sama.
Melalui beberapa perkongsian yang dibuat netizen di media sosial sejak semalam, tersebar beberapa gambar yang menunjukkan aksesori-aksesori dan pakaian di sebuah pasar raya dijangkiti kulat selepas ditinggalkan selama hampir dua bulan kerana PKP.
Berikut adalah beberapa hantaran yang dibuat di media sosial menunjukkan barangan-barangan yang dijangkiti kulat sepanjang PKP berlangsung sebelum ini.
Bagaimanapun, kiriman-kiriman yang dibuat di media-media sosial ini tidak dapat dipastikan sumber asal atau pasar raya mana yang terlibat.
Namun, jika melihat kepada gambar-gambar ini tidak mustahil ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja jika tiada langkah persediaan dan pencegahan diambil sebelum premis-premis perniagaan ini menutup operasi mereka sebelum ini.
Walaupun tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar yang menyebabkan berlakunya jangkitan kulat terhadap barangan kulit ini namun ia dipercayai kerana berada terlalu lama dalam suasana lembap serta tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
Situasi seperti ini sudah pasti bukanlah pemandangan yang mahu dilihat para peniaga setelah kembali untuk beroperasi, namun dek kerana tempoh PKP yang berlanjutan ini adalah antara realiti yang terpaksa dihadapi mereka selain daripada kehilangan jualan harian sebelum ini.
Perdana Menteri pada semalam mengumumkan tempoh kawalan pergerakan bakal dilanjutkan sehingga selepas Aidilfitri nanti. Baca perkongsian kami sebelum ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
PKPB Disambung 4 Minggu Lagi, Tiada Perjalanan Rentas Negeri Balik Kampung Dibenarkan
Lagu Dipetik PM Ketika ‘Live’ Jadi Pencapaian Terbesar Artis Ini Selepas 30 Tahun