Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya Sarawak mampu untuk menjadi venue kepada temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA pada masa akan datang.

Melihat kepada temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang berjalan dengan lancar ketika ini, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi hab sukan dalam negara.

Baca Juga:

“Saya optimis dengan pelaburan berterusan dalam kemudahan sukan dan pembangunan atlet, Sarawak akan menjadi venue sukan terkemuka untuk Malaysia,” katanya dipetik dari laporan NST.

Mengenai sama ada Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Sea 2027, Hannah Yeoh berkata Kementerian Belia dan Sukan sedang menunggu maklum balas daripada kementerian lain yang berkaitan.

“Kami sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Setelah mendapat maklum balas mereka, kami akan membentangkan cadangan itu kepada Kabinet untuk keputusan muktamad.

“Pada masa ini, tiga negeri telah menawarkan untuk membantu dengan penganjuran iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang. Sarawak telah mencadangkan untuk menampung 50 peratus daripada kos penganjuran,” tambahnya.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ialah pada edisi 2017 dimana sebanyak 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa berjaya dimenang oleh atlet negara.

Sukma yang sedang berlangsung ketika ini menampilkan 37 sukan dan 488 acara, tersebar di sembilan bahagian negeri seperti Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.