Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Hannah Yeoh menghormati keputusan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang menolak tawaran untuk menyertai program Road To Gold (RTG) buat kali kedua.
Dua hari lalu, Hannah mengumumkan senarai 13 atlet yang terpilih untuk menyertai RTG serta ‘Fast Track’ bagi tahun 2025.
Baca Juga:
- Gagal Bawa Pulang Pingat Emas, Hannah Yeoh Mohon Maaf
- Program RTG: Pandelela, Nur Dhabitah Digugurkan
- Gagal Capai Kata Sepakat, Lee Zii Jia ‘Berpisah’ Dengan Program RTG
Daripada senarai tersebut, lapan daripadanya merupakan pemain badminton negara dalam acara beregu yang menampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Manakala baki lima atlet lagi terdiri daripada Mohd Aniq Kasdan (Angkat Berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom (Berbasikal), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Berbasikal) dan Sivasangari Subramaniam (Skuasy).

Hannah Hormati Keputusan Lee Zii Jia
“Zii Jia telah memutuskan untuk tidak menyertai RTG, beliau mempunyai alasannya yang tersendiri dan kami menghormatinya. Kami mendoakan yang terbaik buat beliau,” ujar Hannah menurut sumber laporan New Straits Times.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Zii Jia, yang saya temui baru-baru ini, atas pandangan bernilai yang diberikan mengenai bagaimana kita boleh membantu pemain profesional dengan lebih baik.
“Pada akhirnya, keputusan terletak di tangan para atlet. Kami menghormati apa jua keputusan yang mereka buat.”
“Saya ingin jelaskan bahawa pintu untuk menyertai RTG sentiasa terbuka.”

“Matlamat kami sama seperti para atlet, iaitu untuk meraih pingat emas. Tidak kira sama ada mereka atlet profesional atau di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kami tetap mahu membantu,” tambah beliau lagi.
Tujuan utama kewujudan program RTG adalah bagi memberikan sokongan tambahan kepada atlet-atlet terbaik negara dalam usaha mereka untuk mencabar pingat emas di Sukan Olimpik serta kejohanan antarabangsa utama yang lain.
Selain sokongan sains sukan, pendedahan pertandingan dan kejurulatihan, atlet di bawah program RTG juga menerima elaun bulanan sebanyak RM3,000.