Lee Zii Jia sudah pasti dikeluarkan daripada senarai atlet dalam program khas Road To Gold (RTG) yang diperkenalkan sebagai persiapan atlet ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Hal ini kerana pemain badminton perseorangan lelaki negara itu mengambil keputusan untuk tidak menandatangani surat perjanjian komitmen seperti yang diminta sebelum ini.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh menurut sumber laporan Bharian Online.

“Hari ini Datuk Stuart mengadakan perbincangan dengan Zii Jia. Apa yang saya boleh katakan Zii Jia tidak menandatangani perjanjian berkenaan.”

“RTG adalah satu kemudahan yang kita wujudkan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan untuk atlet yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024.”

“Kita juga nyatakan RTG adalah platform yang kita nak hapuskan semua birokrasi sebelum ini.’

“Namun, saya tidak boleh paksa atlet yang tidak mahu terima ataupun mereka ada fasiliti lain yang mereka ada akses. Itu terpulang kepada atlet masing-masing dan sebab itu, kita sediakan kontrak asas untuk atlet.”

“Saya percaya mahu atau tidak, perlu atau tidak perlukan perkhidmatan tambahan daripada RTG adalah keputusan yang perlu dibuat oleh atlet sendiri,” ‘ ujar Hannah lagi.

Lee Zii Jia merupakan antara nama awal yang diletakkan dalam senarai atlet ke program RTG sejak ia mula diumumkan pada 7 April lalu.

Selain daripada menerima elaun sebanyak RM3,000 sebulan, para atlet yang berada dalam program RTG akan menikmati pelbagai sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) termasuklah bagi aspek keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan lain-lain lagi ditawarkan ISN.

Berikut merupakan senarai penuh 14 atlet yang sudah menandatangani surat perjanjian komitmen bersama program RTG:

Aaron Chia (Badminton)
Soh Wooi Yik (Badminton)
Pearly Tan (Badminton)
M.Thinaah (Badminton)
Chen Tang Jie (Badminton)
Toh Ee Wei (Badminton)
Ng Tze Yong (Badminton)
Ong Yew Sin (Badminton)
Teo Ee Yi (Badminton)
Datuk Azizulhasni Awang (Basikal Trek)
Shah Firdaus Sahrom (Basikal Trek)
Datuk Pandelela Rinong (Terjun)
Nur Dhabitah Sabri (Terjun)
Mohamad Aniq Kasdan (Angkat Berat)

Sumber