Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Hannah Yeoh berpendapat permohonan maaf daripada penaja kelengkapan sukan bagi ‘Team LZJ (Lee Zii Jia), Victor berhubung isu bendera Malaysia terbalik tempoh hari sudah buatnya.
Menurut sumber laporan Bernama, Hannah percaya bahawa jenama sukan dari Taiwan dan Lee Zii Jia sendiri langsung tidak berniat untuk mempersendakan serta menghina negara.
Baca Juga:
- Peminat Percaya Video Ini Bukti Lee Zii Jia Tak Sedar Bendera Terbalik
- Bendera Malaysia Terbalik Pada Baju Lee Zii Jia, Victor Mohon Maaf
- Premis Tidak Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan Boleh Dikompaun Sehingga RM1,000
Namun, beliau mengingatkan kepada semua pihak iaitu melibatkan atlet dan pengurus supaya bersikap lebih berhati-hati dan serius bagi mengelakkan insiden sama berulang lagi.
Insiden yang berlaku di Hangzhou, China itu jelas menjadi tumpuan banyak pihak ketika Lee Zii Jia sedang beraksi menentang pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan BWF World Tour Finals 2024.
Sebaik sahaja gambar dan berita tersebut tular, Victor pantas membuat permohonan maaf berhubung insiden itu.
Sehubungan dengan itu, YB Hannah melihat ia sudah mencukupi dan perkara tersebut tidak perlu untuk dipanjang-panjangkan lagi.
“Buat masa sekarang, isu Zii Jia seperti yang saya katakan permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor.”
“Saya belum semak (sekiranya Zii Jia dan pasukannya turut mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.”
“Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (mengenai garis panduan bagi memastikan isu sama tidak berulang),” ujar Hannah lagi.