Hanya satu daripada setiap sepuluh pekerja formal di Malaysia berpendapatan RM9,200 atau lebih setiap bulan, menurut kemas kini gaji terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sebaliknya, 10% terendah (pekerja) membawa pulang RM1,664 atau kurang, menonjolkan jurang gaji yang jelas merentasi tenaga kerja.

Berita baiknya, peratusan pekerja formal yang bergaji di bawah RM1,700 telah berkurang. Walau bagaimanapun, statistik DOSM Jun 2025 menunjukkan angka itu masih melibatkan 10.4% daripada pekerja.

Secara keseluruhan, golongan berpendapatan tertinggi masih membawa pulang lima kali ganda lebih banyak daripada kumpulan pendapatan terendah.

Separuh daripada pekerja Malaysia mendapat kenaikan gaji (median) sebanyak 4.3% berbanding Jun tahun lepas. Sementara itu, terdapat 3.5% lebih ramai pekerja formal (seperti yang didaftarkan dalam rekod berkanun) pada Jun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 6.97 juta orang.

Peningkatan gaji bulanan median tahun ke tahun (YoY) adalah seperti berikut: April 2025 mencatat kenaikan 3.6%, meningkat kepada 5.4% pada Mei 2025, dan kemudian perlahan sedikit kepada 4.3% pada Jun 2025.

Berkenaan gaji mengikut jantina, pekerja lelaki membentuk majoriti sebanyak 55.1% (3.84 juta orang) dengan gaji median RM2,900. Manakala, pekerja wanita mewakili 44.9% (3.13 juta orang) dengan gaji median sedikit rendah iaitu RM2,800.

Gaji median mengikut kumpulan umur juga menunjukkan peningkatan bagi semua peringkat. Golongan bawah 20 tahun mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 13.3% dengan gaji median RM1,700. Sementara itu, kumpulan umur 45–49 tahun merekodkan gaji median tertinggi secara keseluruhan iaitu RM3,800.

Hanya 1 Dalam 10 Rakyat Malaysia Yang Bekerja Raih Pendapatan RM9,200 Sebulan
Sumber Gambar: FB DOSM

Laporan itu turut mendedahkan bahawa sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan kadar pertumbuhan gaji tertinggi (10.2%), menjadikan gaji median di sektor itu mencecah RM6,500. Sebaliknya, sektor pertanian merekodkan pertumbuhan gaji terendah (10%) dengan gaji median hanya RM2,200.

Hanya tiga negeri yang mencatatkan gaji median melebihi paras median kebangsaan iaitu RM2,864, diketuai oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,064), diikuti oleh Selangor (RM3,145) dan Pulau Pinang (RM2,927).

Bagi negeri yang mencatatkan gaji median terendah pula, senarainya didahului oleh Kelantan (RM1,764), diikuti rapat oleh Perlis (RM1,800), dan kemudian Sabah serta Kedah dengan gaji median yang sama iaitu RM2,000.