Akhirnya kehangatan Anugerah Juara Lagu 2023 sudah sampai kemuncak apabila semalam lagu ‘Terus Hidup’ yang dinyanyikan oleh Aina Abdul dinobatkan sebagai pemenang bagi acara muzik tahunan tempatan buat kali ke-37 itu.

Disebalik kemenangan itu, terdapat satu kisah yang memberi ‘kesan’ kepada Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37), Datuk Mokhzani Ismail yang masih tidak dapat melupakan persembahan-persembahan hebat daripada barisan artis terbaik dalam negara ini.

Baca Juga:

Memetik portal Xtra.com.my, beliau mendedahkan terdapat persaingan sengit berlaku antara lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dan Satu Malam Di Temasek nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne.

“Malam ini kita dapat lihat dua lagu yang sangat dekat beza markah mereka iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek. Apabila permarkahan dibuat menerusi melodi, ia ada pada Terus Hidup, manakala kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek.

“Namun, kedua-dua lagu mempunyai kekuatan pada lirik dan juga vokal. Tapi kami melihat kekuatan vokal dalam dua medium, iaitu vokal dalam album dan juga vokal atas pentas AJL 37,” terang Datuk Mokhzani.

Bagaimanapun persaingan sengit di antara kedua-dua lagu untuk menduduki juara dan naib juara dipisahkan dengan persembahan vokal.

Tambah Ketua Juri itu lagi, penobatan Aina sebagai Vokal Terbaik, ia adalah antara faktor yang mengangkat ia menjadi juara dengan kelebihan sebanyak dua markah. Begitu juga dengan lagu yang meraih tempat ketiga.

“Kalau kita lihat ada tujuh buah lagu yang mempunyai genre pop dan balada. Jadi kami barisan juri cuba mencari adakah kelainan lain yang dapat diangkat dan kita lihat naskhah yang dibawakan oleh lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan.

“Selain itu, antara lagu yang turut mendapat markah yang paling hampir adalah Korban nyanyian Ernie dan Kembali Terang nyanyian Marsha Milan yang masing-masing berada di tempat keempat,” katanya ketika sidang media usai AJL 37, malam tadi.

Dalam pada itu, Datuk Mokhzani mendedahkan susunan lagu Terus Hidup di AJL 37 yang dijayakan oleh Jenny Chin ‘berbahaya’ dan mampu menjerat Aina namun penyanyi itu sukses membawakannya dengan baik — terang beliau terdapat sedikit perbezaan pada lagu ‘Terus Hidup’ versi rakaman dengan persembahan live Aina malam tadi. Pada bahagian akhir lagu yang dipersembahkan secara langsung, ada progression chord yang boleh ‘menjerat’ Aina.

“Menariknya, bahagian ‘susah’ itu disampaikan Aina dengan baik. Jadi, juri sebulat suara meletakkan Aina sebagai juara AJL 37 tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah bersifat luar biasa,” katanya lagi.

Sumber