Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai berkenaan had umur ditetapkan untuk menyertai Program Khidmat Negara (PLKN) yang dijadualkan bermula Januari 2025.

PLKN kali ini kembali dengan konsep baharu membabitkan peserta lepasan kadet sekolah dan turut melibatkan PDRM serta agensi beruniform lain.

Baca Juga:

Menurut Adly, hanya pelajar sekolah lepasan SPM sahaja terlibat dalam PLKN untuk fasa pertama tahun depan bukan golongan berusia sehingga 35 tahun.

“Fokus kita tahun hadapan ialah lepasan SPM… contohnya lepas SPM tak boleh hadir sebab beberapa kekangan, (maka) dia boleh hadir hingga usia 35 tahun, itu mengikut akta.

“Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan. Memang ada keresahan, mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran,” katanya dipetik dalam Bernama.

Adly berkata, bermula Januari tahun hadapan, sebanyak 1,000 peserta terbabit dengan PLKN dan akan ditempatkan di dua kem latihan.

“Dari segi modul pula akan ada penambahbaikan yang kita buat berdasarkan PLKN sebelum ini. Bagi kita apa yang penting apabila mereka keluar PLKN, selain ada semangat jati diri, mereka juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang tinggi untuk memastikan mereka berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata PLKN 3.0 akan diperkenalkan di peringkat sekolah pertengahan tahun depan sebagai persiapan bagi mereka menjalani latihan selepas berusia 17 tahun, merangkumi pelajar tingkatan empat saja semasa kegiatan kokurikulum.

Fasa seterusnya merangkumi pelaksanaan PLKN asas remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas, mereka bakal dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 kem askar wataniah, 20 universiti awam (UA) dan beberapa politeknik.

Hanya Pelajar Lepasan SPM Terlibat PLKN 3.0 Tahun Depan
Infografik: Bernama

“Fasa latihan asas ini merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus. Latihan tersebut bersifat intensif, lapangan serta praktikal.

“Modul asas kenegaraan dibangunkan oleh KPT mengandungi modul kenegaraan elemen jati diri, modul kenegaraan elemen cinta negara dan modul kenegaraan elemen perpaduan.

“Manakala modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan. Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketetapan masa tersusun dan mandiri,” katanya menerusi laporan dalam Harian Metro.