Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan penurunan harga runcit diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa mulai Julai 2026.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu majlis di Bintulu, Sarawak hari ini.

Mekanisme Penyasaran Subsidi Berasaskan MyKad

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF), langkah penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara.

Pelaksanaan tersebut bakal menggunakan mekanisme baharu berasaskan sistem pengesahan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” jelas kenyataan itu lagi.

Penyelarasan Harga di Sabah dan Sarawak

Melalui inisiatif ini, pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak bakal menikmati faedah penurunan harga secara langsung.

Pada masa ini, harga runcit diesel bersubsidi di pasaran Sabah dan Sarawak adalah RM2.15 seliter. Dengan pelaksanaan pembaharuan ini, kadar tersebut akan diselaraskan dengan harga di Semenanjung Malaysia, sekali gus mengurangkan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter untuk rakyat di wilayah berkenaan.

Langkah intervensi ini disifatkan penting bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar, di samping membanteras isu ketirisan serta aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ke luar negara. Cabaran geo-politik semasa dan krisis di Asia Barat ketika ini turut memberi tekanan berterusan kepada rantaian bekalan minyak global.

Perincian Lanjut Diumumkan Esok

Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai kaedah pelaksanaan dan perincian teknikal berhubung pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada esok hari, 22 Jun 2026.