Harga emas terus melonjak ke paras tertinggi baharu melebihi AS$3,200 (RM14,500) sekeping pada dagangan awal Jumaat, didorong oleh kebimbangan pelabur terhadap kesan perang tarif terhadap ekonomi global, lapor The Edge.

Kenaikan ini menjadikan logam berharga itu sebagai pilihan utama ‘safe haven’ (tempat perlindungan selamat) di tengah-tengah ketidakstabilan pasaran saham dan mata wang.

Harga Emas
Sumber: REUTERS/Ajay Verma/File Photo

Sejak awal minggu ini, emas telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan kenaikan lebih 3% secara berturut-turut.

Lonjakan ini seiring dengan kegusaran pelabur terhadap dasar tarif Presiden AS Donald Trump yang tidak menentu, mencetuskan jualan panik saham, bon, dan dolar AS.

Walaupun Trump mengumumkan jeda 90 hari untuk kenaikan tarif ke atas beberapa rakan dagang, ketidakpastian masih tinggi terutamanya dengan kadar tarif ke atas import China yang kini mencecah sekurang-kurangnya 145%.

Fed & Inflasi AS Jadi Faktor Penting Harga Emas

Selain isu perdagangan global, ada satu lagi faktor penting yang buat harga emas naik – iaitu jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed), bank pusat Amerika Syarikat, akan turunkan kadar faedah tidak lama lagi.

Harga Emas

Kenapa ini penting?

  1. Inflasi AS Menurun: Data terbaru menunjukkan kenaikan harga barang di AS (inflasi) mulai perlahan pada Mac. Bila inflasi rendah, Fed biasanya akan kurangkan kadar faedah untuk stimulasikan ekonomi.
  2. Ramalan Potongan Kadar Faedah: Pelabur kini menjangkasi Fed mungkin potong kadar faedah 3 kali sebelum akhir tahun 2024, bahkan mungkin sampai 4 kali.
  3. Kesan Pada Emas: Bila kadar faedah rendah, orang kurang berminat simpan duit dalam bentuk deposit atau bon (kerana pulangan faedah kecil). Sebaliknya, mereka beralih ke emas – aset yang stabil walaupun tiada faedah.

Harga Emas

“Kami tetap optimis dengan prospek emas,” kata Dominic Schnider, ketua komoditi dan mata wang Asia Pasifik di UBS Global Wealth Management, dalam wawancara dengan Bloomberg Television. “Langkah seterusnya ialah Fed akan bertindak—dan itu akan mendorong emas lebih tinggi lagi.”