Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib, berkata harga emas tempatan dijangka meningkat di antara 10 peratus hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, terdapat jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedahnya tahun ini, petik Buletin TV3.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Katanya, jika kadar faedah diturunkan, mungkin orang tidak akan menyimpan duit dalam dolar AS tetapi akan membeli emas, jadi secara tidak langsung akan menaikkan harga emas.

“Selain daripada itu juga di Malaysia (harga emas tempatan) bergantung kepada nilai ringgit. Jadi, kita dapat lihat lihat pada hari ini nilai ringgit telah susut kepada RM4.76 berbanding dolar AS, antara kadar paling rendah setakat ini.

“Apabila mata wang kita kurang baik, ia akan menyebabkan harga emas terus meningkat tinggi. Kadang-kadang apa yang berlaku di luar sana, di peringkat antarabangsa mungkin menyebabkan harga (emas) naik.

“Kalau ringgit kukuh mungkin (harga emas) tidak naik begitu banyak. Namun, secara keseluruhan kita dapat lihat harga emas sedang naik,” beliau berkata sedemikian selepas majlis pecah tanah pembangunan gedung utama HABIB di sini, semalam.

Dalam pada itu, Meer berharap kerajaan tidak akan mengenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi atau Cukai Barang Mewah terhadap industri barang kemas yang dijangka bermula Mei depan.

Ini kerana terdapat golongan yang menyimpan dalam bentuk emas sebagai salah satu instrumen pelaburan mereka.

“Jadi, sebagai pelaburan saya rasa sepatutnya kita tidak kenakan cukai. Ini harapan kita kerana ia akan memberi kesan kepada orang ramai yang mahu melabur dalam emas.

“Saya berharap kerajaan tidak akan mengenakan cukai ini kepada barang kemas,” katanya.