Harga iPhone dijangka melonjak susulan langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif baharu ke atas barangan dari China, termasuk produk Apple yang sebahagian besarnya dihasilkan di negara tersebut.

Dalam satu video ringkas dikongsikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau berkata yang harga peranti itu tidak mustahil boleh melonjak naik sehingga seperti harga kereta.

Baca Juga:

Ia tidak mustahil sekiranya Donald Trump terus meningkatkan nilai tarif ke atas negara China — terkini nilai tarif import terhadap barangan dari China telah mencecah maksimum 245%.

Dalam video berkenaan Tengku Zafrul jelaskan sebuah iPhone dibina menggunakan pelbagai komponen yang datang dari negara-negara berlainan.

Contoh diberikan; cip dari Taiwan, skrin dari Korea Selatan, bateri dari China, modem dan memori dari AS, storan dari Jepun dan kamera dari pelbagai negara, yang akhirnya sebuah peranti tersebut dipasang di China.

Ikut harga Amerika Syarikat, harga iPhone boleh sama harga kereta
'Tak Mustahil Harga iPhone Boleh Cecah Harga Kereta' – Tengku Zafrul
Sumber Gambar: X.com @tzafrul_aziz

Katanya lagi, kos bagi sebuah iPhone adalah AS$549.73 (RM2,424) dan jika dikenakan tarif sebanyak 145 peratus, ia mungkin akan mencecah AS$1,400 (RM6,174).

“Jika dibuat sepenuhnya di AS, ada yang mengatakan ia boleh mencecah AS$3,500 atau RM16,000. Bila harga naik di AS, negara lain pun terkesan kerana harga global biasanya ikut harga AS.

“Terkini, AS sudah memberi pengecualian kepada komponen telefon pintar dan komputer, khususnya dari China. Legalah sekejap peminat iPhone kita tapi pengecualian ini pun tidak tahulah sampai bila kerana bila-bila masa Trump boleh naikkan balik tarif,” jelas beliau menerusi video tersebut.

'Tak Mustahil Harga iPhone Boleh Cecah Harga Kereta' – Tengku Zafrul
Sumber Gambar: Thai Nguyen via Unsplash

Kenaikan tarif ini menandakan peningkatan ketegangan dalam perang dagang antara kedua-dua negara, dengan potensi kesan terhadap ekonomi global dan harga barangan elektronik seperti iPhone.

Tindakan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada syarikat multinasional seperti Apple, malah turut menjejaskan pengguna di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.