Akhirnya Proton Holdings Bhd (Proton) kembali ke Singapura dengan kereta elektrik (EV) pertamanya, Proton e.MAS 7.
Mulai hujung minggu lalu, orang ramai boleh melihat model EV itu secara dekat di acara The Car Expo 2025, di Singapore EXPO, Singapura.
Baca Juga:
Memetik portal SG Car Mart, Model elektrik sepenuhnya yang baharu itu kini boleh ditempah. Sementara penghantaran akan bermula pada Ogos 2025.

Difahamkan Proton menawarkan promosi ‘Founders Edition’ untuk 99 buah kereta pertama yang dijual. Antara keistimewaannya, pelanggan awal itu layak mendapatkan diskaun sebanyak SGD20,000 (RM66,600).
Sementara itu sebuah Proton e.MAS yang ditawarkan secara rasmi di Singapura berharga mulai SGD173,988 (RM570,758) — lima kali ganda lebih tinggi daripada harga rasmi di pasaran Malaysia.
Proton yakin model EV sulung dapat sambutan warga Singapura

“Pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura menandakan langkah penting dalam pengembangan antarabangsa kami dan komitmen kami untuk membawa EV yang berkualiti tinggi dan canggih dari segi teknologi ke rantau ini.
“Kami yakin bahawa e.MAS 7, dengan ciri-cirinya yang menarik dan kesesuaian untuk persekitaran bandar, akan diterima baik oleh pemandu Singapura ketika negara ini menerima mobiliti elektrik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.