Malaysia mempunyai kereta EV buatan sendiri yang pertama dengan pelancaran Proton e.Mas 7 semalam.
Dengan kerjasama Geely, kereta Proton EV itu ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian; Prime dan Premium.
Baca Juga:
- Tentera Rusia Guna Proton Persona? Netizen Terkejut Kereta Malaysia ‘Join’ Perang
- Pelajar Indonesia Kongsi Sebab Pilih Pakai Proton Satria Di Malaysia
- Dibeli Harga Semurah RM1,700, Lelaki Barat Ini Mahu Popularkan Proton Impian
Secara ringkas, e.Mas 7 Prime hadir dengan bateri berkapasiti 49.52kWh, roda aloi 18-inci, paparan unit skrin sentuh 15.4-inci dan sistem pemanduan ADAS Level 2.
Sementara e.Mas 7 Premium pula hadir dengan bateri berkapasiti 60.22kWh, roda aloi 19-inci, 16-speaker dengan sistem audio Flyme, paparan unit skrin cermin hadapan dan pengudaraan untuk tempat duduk hadapan.
Pada masa sama, kereta EV pertama Malaysia ini turut diiktiraf 5-bintang ASEAN NCAP.
Ia bakal menjadi kereta rasmi sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di negara ini pada tahun hadapan, petik MalaysiaGazette.
Proton e.Mas 7 dipilih kerana kerajaan mahu menjadikan kereta tersebut sebagai contoh di rantau Asia dalam pembuatan dan pembangunan EV, terang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama ia selaras komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 nanti.
“Untuk ASEAN tahun depan, e.Mas 7 adalah kenderaan rasmi kita. Kita nak tetapkan contoh di rantau ini, untuk mempromosikan keupayaan kita untuk menghasilkan kereta dan juga pembangunan EV.
“Ia bertepatan dengan komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar bersih,” katanya semasa Majlis Perasmian Kereta Elektrik Nasional Pertama e.Mas 7 semalam.
e.Mas 7 Prime ditawarkan dengan harga RM109,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM112,800 (Malaysia Timur). Manakala e.Mas 7 Premium berharga RM 123,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM RM126,800 (Malaysia Timur).
Khas untuk 3,000 pemilik pertama, rebat sebanyak RM4,000 diberikan sekaligus menjadikan harga tersebut RM105,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM108,800 (Malaysia Timur) untuk model e.Mas 7 Prime.
Sementara e.Mas 7 Premium pula menjadi RM 119,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM122,800 (Malaysia Timur).