Kejadian letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights awal bulan ini bukan sahaja meninggalkan kesan trauma kepada penduduk, malah turut memberi kesan kepada pasaran hartanah di kawasan tersebut.
Menurut pakar, nilai rumah berhampiran pusat letupan dijangkakan merudum sehingga 20 peratus, bergantung pada jarak kediaman dari lokasi kejadian.
Kerosakan Teruk, Nilai Hartanah Putra Heights Runtuh
Profesor Dr Noor Rosly Hanif, pakar hartanah dari Universiti Teknologi Sarawak, berkata kepada NST bahawa sekitar hampir 250 rumah musnah dalam kejadian itu, dengan kerosakan struktur yang teruk di kawasan berdekatan saluran gas.

Beliau menjelaskan, rumah yang paling hampir dengan pusat letupan berisiko kehilangan nilai sehingga 20 peratus, manakala kawasan lain di Putra Heights mungkin mengalami penurunan sekitar 5 peratus.
“Di ‘ground zero’, nilai hartanah mungkin jatuh ke tahap harga tanah sahaja. Kebanyakan bangunan tidak boleh diselamatkan akibat kerosakan struktur dan suhu melampau. Semua utiliti rosak dan perlu diganti, rumah pula perlu dirobohkan dan dibina semula,” jelas Noor Rosly.
Kos Pembinaan Semula Mencecah RM300,000 Seunit
Selain kehilangan nilai hartanah, penduduk yang terjejas berdepan beban kewangan yang besar.
Setiap keluarga perlu mengeluarkan kos sekitar RM300,000 untuk membina semula rumah ke keadaan asal.
Tambahan pula, mereka terpaksa menumpang di rumah sewa sementara menunggu proses pembaikan.

“Kos sewa rumah lengkap berharga RM3,000 sebulan. Jika tempoh dua tahun diperlukan, termasuk deposit dan lain-lain perbelanjaan, jumlahnya boleh mencecah RM100,000 bagi setiap keluarga,” ujar Noor Rosly.
Letupan Punca Panik, 227 Rumah Rosak
Kejadian pada 1 April itu berlaku di saluran gas milik Petronas, mengakibatkan kebakaran besar dengan api menjulang tinggi.
Seramai 227 rumah dan 365 kenderaan mengalami kerosakan di kawasan perumahan berhampiran.

Kejadian ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan keselamatan, tetapi juga memberi tamparan hebat kepada pemilik rumah yang kini terpaksa berdepan penurunan nilai aset mereka.