Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskannya selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin, 49, yang dibuat Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November tahun lalu.
Baca Juga:
- Yasin Sulaiman Dibebaskan Daripada 3 Tuduhan Dadah Namun Perlu Ke Hospital Bahagia
- Yasin Sulaiman ‘Petik’ Nama Syed Saddiq Setibanya Di Kompleks Mahkamah PJ
- Berat Badan Hilang 18KG, Yasin Dedah Hidap Penyakit Tiroid Semasa Di Penjara
“Hari ini hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebaik dibawa polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan ketiga pula Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan, petik Harian Metro.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan riak wajah Yasin berubah sugul sementara ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 16 tahun, menangis ketika berada di galeri awam mahkamah selepas mendengar keputusan tersebut.
Terdahulu, Yasin dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan dadah tersebut. Namun mahkamah mengarahkannya ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh perkenan Sultan Selangor.