Sembilan hartanah kediaman mencatatkan transaksi bernilai tinggi di Kuala Lumpur bagi tahun 2026 setakat ini, didahului oleh penjualan sebuah banglo di Taman U-Thant bernilai RM70.5 juta.

Menurut EdgeProp, Berdasarkan data terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang diakses melalui EdgeProp EPIQ, lapan daripada sembilan hartanah berkenaan merupakan rumah banglo, manakala tiga daripadanya terletak di kawasan eksklusif Kenny Hills (Bukit Tunku). Kesemua transaksi ini melibatkan pegangan bebas (freehold) pasaran subsale.

Berikut adalah senarai sembilan transaksi hartanah kediaman tertinggi yang direkodkan:

1. Banglo Jalan Langgak Golf, Taman U-Thant (RM70.50 juta)

Transaksi tertinggi setakat ini dicatatkan pada 5 Mei lalu melibatkan sebuah banglo yang dijual pada harga RM70,499,520. Hartanah ini terletak di atas tanah seluas kira-kira 90,385 kaki persegi (2.07 ekar) dengan keluasan binaan 6,019 kaki persegi, bersamaan sekitar RM780 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah.

2. Rumah Berkembar Jalan Tunku, Kenny Hills (RM30 juta)

Kedudukan kedua tertinggi direkodkan pada 21 April membabitkan sebuah rumah beregu (semi-detached) lima bilik bernilai RM30 juta. Premis ini mempunyai keluasan tanah kira-kira 8,181 kaki persegi dan keluasan binaan 7,800 kaki persegi, iaitu sekitar RM3,667 sekaki persegi mengikut keluasan tanah.

3. Banglo Jalan Lurah Tunku, Kenny Hills (RM27 juta)

Sebuah banglo empat bilik di lokasi sama ditransaksikan pada harga RM27 juta pada 29 Januari. Mempunyai keluasan tanah kira-kira 40,619 kaki persegi dan keluasan binaan 3,776 kaki persegi, nilai transaksi ini bersamaan RM665 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah.

4. Banglo Jalan Bukit Segar 9, Cheras (RM18 juta)

Pada 26 Januari, sebuah banglo lima bilik di Cheras dijual pada harga RM18 juta. Hartanah ini berdiri di atas tanah seluas 15,995 kaki persegi dengan keluasan binaan 8,655 kaki persegi (RM1,125 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah).

5. Banglo Jalan Medang Tanduk, Bangsar (RM16.5 juta)

Sebuah banglo empat bilik di Bangsar mencatatkan nilai transaksi RM16.5 juta pada 12 Februari. Premis tersebut mempunyai keluasan tanah kira-kira 13,487 kaki persegi dan keluasan binaan 8,392 kaki persegi (RM1,223 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah).

6. Banglo Jalan Bukit Tunku, Kenny Hills (RM16 juta)

Satu lagi banglo empat bilik di Kenny Hills bertukar milik pada harga RM16 juta pada 12 Februari. Hartanah ini mempunyai keluasan tanah 19,289 kaki persegi dan keluasan binaan 5,664 kaki persegi (RM829 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah).

7. Banglo Lingkungan U-Thant, Taman U-Thant (RM14.19 juta)

Sebuah banglo empat bilik bernilai RM14,188,888 telah ditransaksikan pada 27 April. Premis ini memiliki keluasan tanah kira-kira 17,093 kaki persegi dan keluasan binaan 4,634 kaki persegi (RM830 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah).

8. Rumah Teres The Mansions, Desa ParkCity (RM14 juta)

Sebuah rumah teres lima bilik di The Mansions, Desa ParkCity dijual pada harga RM14 juta pada 5 Mac. Walaupun berkeluasan tanah 3,305 kaki persegi dan keluasan binaan 7,090 kaki persegi, hartanah ini merekodkan nilai kadar tanah tertinggi iaitu RM4,237 sekaki persegi.

9. Banglo Jalan Jemerlang, Country Heights Damansara (RM13.5 juta)

Transaksi kesembilan tertinggi melibat sebuah banglo enam bilik di Country Heights Damansara yang dijual pada harga RM13.5 juta pada 16 Februari. Hartanah ini mempunyai keluasan tanah 10,581 kaki persegi dan keluasan binaan 8,483 kaki persegi (RM1,276 sekaki persegi berdasarkan keluasan tanah).

Menurut EdgeProp, data ini berasaskan rekod NAPIC sehingga jualan Ogos 2026 yang dimuat naik pada 15 September 2026. Kedudukan ini tertakluk kepada perubahan seiring dengan kemas kini rekod transaksi rasmi yang seterusnya.

Sumber