Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menganugerahkan kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat gelaran sebagai Seniman Diraja.

Sultan Nazrin bertitah, anugerah itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, di sini, hari ini.

Datuk Lat, 72, berkata beliau tidak menyangka bahawa dirinya akan menerima pengiktirafan berkenaan selain menzahirkan penghargaan kepada Baginda kerana berkenaan untuk menghargai jasa anak-anak seni.

Memetik laporan Astro Awani, beliau merupakan individu pertama di Perak yang mendapat gelaran Seniman Diraja daripada Sultan Perak.

“Tentang gelaran Seniman Diraja ini saya akan teringat kepada rakan-rakan saya yang dapat gelaran seperti ‘Pelukis Diraja’ dan sebagainya.

“Malah, jika di Selangor, Johor dan negeri-negeri lain kita lihat sumbangan karya seniman dan pengkarya dalam kalangan rakyat memang diiktiraf oleh Istana. Justeru saya mengucapkan syukur dan menjunjung kasih kepada baginda (atas gelaran Seniman Diraja),” katanya.