Karier hebat dinikmati pakar beregu, Hendra Setiawan akhirnya bakal menemui penghujungnya selepas beliau memutuskan untuk bersara sebaik sahaja tamat Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2025 pada 21 hingga 26 Januari depan.

Keputusan penting dalam kariernya itu diumumkan secara rasmi oleh Hendra menerusi laman Instagram peribadi miliknya, semalam.

Baca Juga:

Berkecimpung dalam badminton seawal usia lima tahun dan menyertai skuad remaja Indonesia pada tahun 2000, terlalu banyak kejayaan pernah dikecapinya sepanjang kariernya.

Tambahan pula dengan usia yang sudah mencecah 40 tahun, Hendra merasakan sudah tiba masanya buat beliau untuk menggantungkan raketnya daripada kancah badminton antarabangsa.

“35 tahun sudah saya berada di dalam dunia badminton. Saya rasa saat ini adalah saat yang tepat untuk memutuskan bahawa saya akan mengakhiri karier saya sebagai atlet Badminton.”

“Indonesia Master 2025 akan menjadi turnamen terakhir saya,” ujar Hendra Setiawan di laman Instagramnya.

“Terima kasih kepada Tuhan kerana saya diberikan kesempatan dapat bermain sampai sejauh ini dan semua impian saya di dunia Badminton sudah tercapai.”

“Terima kasih untuk semua pasangan saya, khususnya Allahyarham Markis Kido & Ahsan yang sudah berjuang bersama.”

“Terima kasih untuk PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia), kelab saya iaitu JayaRaya, semua penaja khususnya Victor dan Waroeng Steak&Shake, semua jurulatih dan kawan-kawan sektor beregu lelaki.”

“Terima kasih banyak untuk semua fans yang selalu menyokong saya dari dulu sampai sekarang.”

“Dan terima kasih buat keluarga besar saya, terutama isteri saya yang selalu menyokong saya dalam jua keadaan sekalipun. Sampai ketemu di Indonesia Master 2025,” tambah Hendra lagi.

Antara kejayaan pernah dimenangi Hendra dalam karier gemilangnya ialah muncul juara Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama Markis Kido.

Beliau dan Kido turut berjaya menjuarai Kejuaraan Dunia 2007 dan kemudiannya tiga kali memenangi kejuaraan sama bersama Mohammad Ahsan.

Hendra pernah menggungguli acara beregu lelaki di Sukan Asia 2010 dan 2014 manakala dua kali menjuarai All England.

Selain itu begitu banyak kejayaan pernah dilakarkan Hendra Setiawan dan sudah pasti peminat akan merindukan ketenangannya ketika beraksi.