Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berpendapat bahawa adalah satu kesilapan bagi Malaysia untuk berhenti menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) di sini.
Shafriman berkata kini amat sukar untuk membawa kembali perlumbaan itu ke Sepang kerana terdapat senarai menunggu yang panjang untuk mendapatkan slot dalam kalendar F1, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- ‘Mat Salih’ Mahu Litar Sepang Dikembalikan Dalam Kalendar Formula 1

- SIC Kini Dikenali Sebagai Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang

- Lihat Pemandu Profesional Pusing Satu Litar Sepang Kurang 3 Minit Dengan Proton X50

SIC kini sedang bersiap sedia untuk berunding mengenai pembaharuan kontrak hak penganjuran MotoGP bersama Dorna Sports.

“Kami tidak mahu mengulangi kesilapan lalu. Kita lepaskan F1 dan sekarang amat sukar untuk mendapatkannya semula. Saya harap kita tidak melakukan kesilapan yang sama dengan MotoGP,” kata Shafriman baru-baru ini.
“Terdapat senarai menunggu untuk masuk semula (F1) dan sudah tentu kosnya sangat tinggi. Kami pernah diberi anggaran yuran perlumbaan sebanyak USD70 juta (RM279 juta) oleh pemilik Liberty Media.
“Itu hanya untuk setiap acara (edisi GP Malaysia). Ia tidak termasuk kos persediaan kami yang berada dalam lingkungan RM10 hingga RM20 juta bagi setiap acara.
“Secara keseluruhan, ia akan menelan belanja lebih RM300 juta setahun untuk membawa semula perlumbaan itu.
“Banyak pihak (negara) sedang beratur, jadi ia bukan perkara mudah. Tetapi kalau kita betul-betul serius, mungkin kita boleh mula berbincang,” kata beliau.

Sepang pernah menganjurkan F1 dari tahun 1999 hingga 2017, namun menghentikan acara tersebut kerana kos penganjuran yang tinggi, minat global terhadap kejuaraan yang semakin merosot, serta jualan tiket yang mengecewakan di Malaysia.
Bagaimanapun, F1 mendapat nafas baharu sejak diambil alih oleh pemilik semasa, Liberty Media, pada tahun 2017.
Ramai mahu F1 kembali ke Sepang
Memetik laporan itu lagi, Shafriman menambah bahawa terdapat minat yang kuat untuk membawa semula acara itu ke Sepang dan beliau percaya ia boleh berjaya jika dilaksanakan dengan cara yang betul.
“Bukan hanya SIC yang mahukan F1. Ramai lagi pihak berkepentingan lain, termasuk kerajaan dan sektor korporat, juga mahu ia kembali,” kata Shafriman.
“Kita perlu lihat bagaimana Singapura menganjurkannya. Mereka ada semua pihak yang berganding bahu menjayakan acara itu — daripada kementerian, sektor korporat sehinggalah ke hotel. Semua pihak menyumbang.
“Ia juga perlu begitu sekiranya kita mahu membawanya kembali ke sini.”
Namun, Shafriman menegaskan bahawa Malaysia akan mengambil sedikit masa untuk meraih keuntungan sekiranya kembali menganjurkan F1.
MotoGP beri pulangan pelaburan 6.3 kali ganda

Tempat kedua jatuh kepada pelumba pasukan Prima Pramac Racing Jorge Martin manakala Ducati Lenovo Team Enea Bastianini menduduki tempat ketiga.
–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
SIC minggu lalu mendakwa bahawa Petronas Grand Prix of Malaysia (MotoGP Malaysia) yang sangat popular memberikan pulangan pelaburan sebanyak 6.3 kali ganda kepada Malaysia, berdasarkan kajian impak ekonomi yang dijalankan tahun lalu.
“Ia akan ambil masa. Malah dengan MotoGP pun, kita ambil masa untuk meningkatkan ROI,” kata Shafriman.
“Perkara paling penting adalah semua pihak (pemegang taruh) berganding bahu.
“Selama ini orang melihat MotoGP dan F1 sebagai acara milik SIC, sedangkan hakikatnya ia adalah acara kebangsaan.
“Kami berada di barisan hadapan dari segi pengurusan, penjenamaan dan sebagainya, tetapi asasnya ia tetap acara milik Malaysia.”
Malaysia terus menganjurkan MotoGP di Sepang dan SIC menyasarkan lebih 200,000 penonton dalam tempoh tiga hari bagi edisi tahun ini pada 24–26 Oktober.