Fabrizio Romano mengesahkan bahawa bintang Itali, Federico Chiesa menjadi milik Liverpool selepas beberapa hari rundingan.

Beberapa hari lalu, Liverpool tiba tiba dikaitkan dengan Chiesa setelah Barcelona menarik diri daripada rundingan kerana kekangan kewangan.

Barcelona kemudian tidak meneruskan usaha mendapatkan Chiesa. Dipercayai kelab itu masih mahu menjadikan Nico Williams sasaran mereka pada masa akan datang.

Liverpool kemudian mempertimbangkan untuk membeli pemain itu yang diletakkan tanda harga €15 juta oleh Juventus. Ini kerana dia memasuki tahun akhir kontraknya.

Jika tidak dijual sekarang pemain itu akan menjadi ejen bebas musim hadapan dan boleh bercakap dengan mana mana kelab lain tanpa melalui Juventus, pada Disember nanti.

Chiesa sudah memberitahu dia tidak akan melanjutkan kontrak di Turin. Dengan namanya turut tidak ada dalam senarai pemain dalam perancangan Thiago Motta.

Juventus mahu menjual Chiesa kerana mahu meraih pendapatan untuk membantu kewangan kelab yang sebenarnya masih dalam proses untuk keluar daripada krisis ekonomi pasca era pandemik.

Chiesa berminat dengan idea untuk ke Liga Perdana Inggeris dan dia juga berminat untuk menyertai Liverpool.

Akhirnya kedua dua kelab berunding untuk perpindahan tersebut. Lalu sebentar tadi, pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano menulis: “Here We Go, Chiesa ke Liverpool”.

Liverpool akan terus membayar €13 juta dan baki €2 juta dalam bentuk bonus. Pemain itu serta merta setuju dengan syarat perpindahan ke kelab di Merseyside itu.