Pada lewat malam semalam tular satu klip video menunjukkan sebuah trak pikap berwarna putih dan sedan berwarna kelabu seakan ‘mengamuk’ apabila dipandu melulu dan melanggar orang ramai yang berada sekeliling.
Menurut Buletin TV3, dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan terbabit dalam kejadian berhampiran pusat hiburan di Jalan Klang Lama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki yang melihat kejadian berkenaan.
Dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan yang dipandu secara melulu berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, semalam. pic.twitter.com/60nHCHvOYZ
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 29, 2025
“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyata Vios melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan lebih kurang dua orang mengalami kecederaan dan salah seorang mangsa sudah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.
“Semua mangsa masih belum membuat laporan polis. Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.