Di sebalik kemeriahan persiapan Syawal, timbul satu polemik yang mencalarkan nilai tradisi: adakah keikhlasan kini diukur dengan angka?

Baru-baru ini, tular tindakan seorang individu membidasi pemberian duit raya berjumlah RM3 yang dianggap ‘tidak relevan’ dengan kos sara hidup masa kini.

Bermula dari satu hantaran individu yang membangkitkan isu pemberian duit raya yang kecil kepada kanak-kanak sebagai tidak mencukupi.

“RM 3 untuk duit raya? Di dalam ekenomi sekarang?,” soalnya yang berbaur seperti mempertikai jumlah tersebut.

Walaupun inflasi menjadi alasan, tindakan melabelkan nilai tersebut sebagai ‘tidak relevan’ mengundang kecaman netizen yang menyifatkan ia sebagai kurang adab dan hilang penghayatan terhadap konsep memberi secara ikhlas

Seorang netizen berpendapat tidak perlu mempertikai pemberian seseorang kerana ia dianggap sebagai sedekah mengikut kemampuan tuan rumah dan menasihati para ibu bapa untuk mengajar anak-anak masing-masing menjaga peradaban sewaktu beraya.

“Sedekah … tak perlu pertikai tuan umah nk bagi berapa .. adab n respek beraya kena bgtau anak2 ..zaman skang ada parent yg suruh anak2 minta duit raya.”

Seorang pengguna bernama @Fithriyaani berkongsi pendekatan menarik yang diamalkan saudaranya yang mana lebih baik memperbanyakkan sedekah kepada jumlah besar kanak-kanak.

Secara logiknya, dengan wang berjumlah RM2 itu boleh diagihkan kepada lebih ramai kanak-kanak berbanding dengan jumlah wang yang besar yang akan mengehadkan kemampuan tersebut.

“Pendekatan ini melihat sedekah dari sudut impak sosial yang lebih luas. Dengan mengurangkan sedikit nilai individu (kepada RM2), kita mampu meningkatkan jumlah penerima sebanyak 50%. Strategi ini bertujuan untuk memaksimumkan ganjaran pahala melalui konsep ‘lebih ramai yang mendapat, lebih banyak keberkatan yang tersebar’.”

Seorang pengguna lain turut memberi inputnya yang mana percaya di dalam keadaan ekonomi yang genting ini sepatutnya diberi RM1 sahaja kerana perlu buat persiapan diri yang lebih penting.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, sebenarnya tak salah kalau nak bagi RM1 sahaja. Kita kena utamakan simpanan tunai sendiri dan mula berjimat-cermat. Tak perlu paksa diri bagi jumlah yang banyak atau kepada terlalu ramai orang kalau ia menjejaskan bajet kita sendiri.”

Sebagai kesimpulan, adakah faktor ekonomi menghalalkan sikap memandang rendah terhadap kemampuan orang lain, atau kita perlu kembali kepada asas kesyukuran?