Kumpulan ternama Indonesia, Hindia sah bakal membuat persembahan di Festival Ultra Kalcer Malaysia 2026. Penyertaan Hindia diumumkan secara rasmi semalam.
Festival muzik yang dianjurkan oleh Neptunes Presents ini bakal menghimpunkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi satu pentas di KL Festival Park, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November 2026. Hindia merupakan surprise act yang bakal memeriahkan lagi festival itu yang diumumkan penganjur semalam.
Daripada nama besar seperti Kris Dayanti dan Pamungkas, sehinggalah kepada nama-nama yang dekat dengan peminat muzik alternatif dan indie, barisan artis Indonesia yang bakal membuat persembahan termasuk Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.
Pentas Ultra Kalcer Malaysia 2026 turut akan menampilkan artis tempatan antaranya Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.

Menurut jurucakap Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi, festival ini menjadi peluang untuk meraikan perkembangan muzik dari kedua-dua negara sambil mempertemukan artis yang mempunyai pengaruh serta kelompok peminat tersendiri.
Menariknya, senarai lagu yang bakal dibawakan oleh setiap artis masih dirahsiakan sehingga hari persembahan. Jadi, peminat nampaknya kena datang sendiri untuk tahu apa yang bakal dimainkan di atas pentas.
Dari segi lokasi pula, KL Festival Park dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain mampu menampung lebih 20,000 penonton dalam satu-satu masa.
Tiket Ultra Kalcer Malaysia 2026 sudah mula dijual sejak 4 September lalu dengan harga yang disifatkan penganjur sebagai mampu milik.
Festival ini bukan kali pertama Neptunes Presents menganjurkan acara yang menghimpunkan artis Malaysia dan Indonesia. Sebelum ini, mereka turut terlibat dalam penganjuran Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada November 2024.
Dengan 19 artis dari dua negara berkongsi satu pentas selama dua hari, Ultra Kalcer Malaysia 2026 nampaknya bakal menjadi satu lagi pertemuan menarik antara muzik Malaysia dan Indonesia. Tiket boleh dibeli di sini.