Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menepis spekulasi yang mengatakan naib juara Piala Malaysia 2023 itu bakal kembali mendapatkan khidmat Nafuzi Zain.

Menurut satu hantaran yang dibuat di laman Facebook peribadi miliknya sebentar tadi, Hishamudin turut memberikan gambaran jelas bahawa Tomislav Steinbruckner akan terus kekal membimbing pasukan.

Baca Juga:

Meskipun pada mulanya dikecam hebat para penyokong, jurulatih kelahiran Croatia membalas kritikan diterima dengan membawa skuad penyu ke perlawanan akhir Piala Malaysia serta separuh akhir Piala FA musim ini.

Saingan Liga Super pula menyaksikan Terengganu berada di tangga keenam dengan aksi hanya berbaki satu perlawanan iaitu melayani kunjungan Perak pada hujung minggu ini.

“Gambar ini sudah memadai untuk menggambarkan siapa bakal Ketua Jurulatih Terengganu pada musim depan. Tidak perlulah masing-masing terikut dengan rentak propaganda media.

“Lebih malang, kita mula mengutuk bekas Ketua Jurulatih Terengganu (merujuk kepada Nafuzi). Caci maki dan hina nista dilemparkan kepada beliau tanpa belas kasihan. Mengapa perlu diganggu karier orang lain di tempat lain. Setidaknya, kita menghargai jasa semua pihak yang pernah berbakti.”

“Saya suka nasihatkan semua peminat bola sepak Terengganu agar jangan mudah terpedaya dengan olahan berita yang entah dari mana.”

“Terjebak pula dengan umpat cela yang tidak sepatutnya. Pun begitu, suka saya jelaskan prestasi bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain cukup baik juga untuk Terengganu pada musim yang lalu.”

“Cukup di sini dahulu agar setidaknya saya membimbing penyokong saya agar tidak terjerumus dalam fitnah dan caci maki,” tambah Hishamuddin yang juga merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC.