H&M telah mengumumkan penstrukturan semula operasi rantau Asia Pasifik secara besar-besaran, yang melibatkan pemindahan ibu pejabat serantau Asia Tenggara dari Singapura ke Kuala Lumpur serta pengurangan kira-kira 30 peratus tenaga kerja sokongan serantau.

Perubahan ini, yang telah dimaklumkan secara rasmi kepada kakitangan pada 11 Mei, akan menyaksikan sebahagian besar pemberhentian kerja berlaku di pejabat Singapura, petik Malay Mail.

Daripada jumlah 256 kakitangan di bekas wilayah Asia Timur, sebanyak 78 jawatan akan dihapuskan.

Evolusi Model Operasi Komersial H&M

Penstrukturan ini adalah sebahagian daripada evolusi model operasi komersial H&M yang menggantikan lapisan serantau sedia ada dengan empat benua baharu.

Melalui struktur terbaharu ini, Benua Asia Pasifik (APAC) yang baharu dibentuk akan berpangkalan di Shanghai untuk menguruskan lima pasaran jualan.

Memetik laporan itu lagi, ibu pejabat bagi pasaran jualan Asia Tenggara akan ditempatkan di Kuala Lumpur, manakala pasaran jualan Asia Timur Laut akan dipindahkan ke Tokyo.

Rangkaian pasaran bagi benua APAC ini juga merangkumi India (pusat operasi di Bangalore), Australia & New Zealand (pusat operasi di Sydney), serta Greater China, yang mana ia akan berkongsi pusat operasi dengan ibu pejabat benua di Shanghai.

Kakitangan akan melalui proses penstrukuran semula menjelang 21 Mei 2026.

Resume Standard Bukan Lagi Jadi Rujukan

Setiap pekerja diwajibkan untuk mengisi tinjauan penilaian bagi mencalonkan dua peranan utama pilihan mereka, dengan keputusan penempatan tidak lagi bergantung kepada penghantaran resume standard tetapi dibuat berdasarkan tahap pencapaian prestasi pada tahun 2025 serta rekod disiplin terbaharu.

Sesi temu duga dan penilaian pula dijadualkan berlangsung antara 25 Mei hingga 19 Jun.

Pihak pengurusan menjangkakan pekerja akan dimaklumkan mengenai keputusan akhir mereka pada selewat-lewatnya pertengahan bulan Jun.

Pelan penstrukturan yang disatukan berserta pemindahan kakitangan ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai.

Perjanjian Perpisahan Bersama

Bagi pekerja yang kehilangan jawatan atau tidak menemui peranan alternatif di dalam organisasi baharu, pihak syarikat akan menawarkan perjanjian perpisahan bersama (mutual separation agreements).

Maklumat terperinci mengenai pakej pemisahan ini akan dimaklumkan kelak.

Berdasarkan rekod dalaman, H&M sememangnya melaksanakan perubahan penstrukturan serantau yang serupa pada hampir setiap tahun.

Sementara fungsi sokongan di Singapura dan Bandar Ho Chi Minh sedang dipindahkan ke luar negara (offshoring), dan pejabat di Seoul serta Manila sedang dikecilkan saiznya, H&M menegaskan bahawa semua operasi pasukan peruncitan di peringkat stor langsung tidak terjejas.

Sumber