Honda Motor dan Nissan Motor telah memulakan perbincangan untuk menyeragamkan perisian asas yang mengawal kenderaan mereka, lapor Nikkei.

Kedua-dua syarikat Jepun itu merancang untuk memperkenalkan kenderaan yang dilengkapi dengan perisian baharu tersebut menjelang akhir tahun 2020-an.

Baca Juga:

Pada Disember 2024, kedua-dua pengeluar kereta itu telah memulakan rundingan untuk membentuk pakatan automotif ketiga terbesar di dunia.

Walaupun rundingan tersebut gagal akibat perbezaan syarat, perbincangan mengenai kerjasama tetap diteruskan. Sejak Ogos 2024, kedua-dua syarikat telah menjalankan penyelidikan asas bersama dalam teknologi perisian.

Mereka akan membuat keputusan sama ada untuk membangunkannya bagi pengeluaran besar-besaran berdasarkan hasil penyelidikan itu. Dengan matlamat bersama dalam integrasi perisian, kerjasama ini kini bergerak ke hadapan.

Dalam kenderaan generasi baharu nanti, meningkatkan prestasi pemanduan melalui kemas kini perisian dijangka menjadi kunci utama kepada daya saing.

Kerjasama dalam pembangunan perisian operasi ini berpotensi membolehkan pengeluar mengenakan bayaran kepada pelanggan untuk kemas kini tersebut, sekali gus mengubah model perniagaan tradisional yang selama ini bergantung kepada jualan kereta secara sekali sahaja.

Sistem Honda, Toyota ala Appple dan Android

Memetik laporan itu lagi, Honda dan Nissan akan bekerjasama dalam pembangunan kenderaan yang ditakrifkan oleh perisian, atau software-defined vehicles (SDV).

Jika sebelum ini fungsi utama kenderaan tradisional banyak bergantung pada perkakasan seperti enjin dan komponen mekanikal, SDV pula mampu menawarkan prestasi yang lebih baik serta menambah ciri baharu melalui kemas kini perisian secara dalam talian (over-the-air updates).

Buat masa ini, Honda dan Nissan sedang membangunkan platform perisian masing-masing secara berasingan, yang dirancang untuk digunakan dalam kenderaan mereka bermula tahun 2026.

Kedua-dua syarikat itu akan bersama-sama membangunkan platform yang mudah digunakan dan boleh disesuaikan — mirip kepada iOS milik Apple dan Android milik Google — untuk digunakan dalam kenderaan generasi baharu yang dijangka dilancarkan menjelang akhir tahun 2020-an.

Menurut Precedence Research dari Kanada, pasaran global perisian SDV dijangka mencecah $301 bilion (RM1.41 trilion) menjelang tahun 2034 — peningkatan tujuh kali ganda berbanding tahun 2023.

Sumber