Melihat isu yang melanda seorang pemandu Perodua Bezza yang rosak kerana gula sebelum ini, seorang wanita bernama Noriya Mamat berkongsi pengalaman menyedihkan kereta Honda HR-V miliknya rosak hanya selepas 8 bulan digunakan.

Sehingga ke hari ini, masalah tersebut masih belum selesai walaupun dia masih perlu membayar pinjaman bank sebanyak RM1,500 sebulan.

Baca Juga:

Dalam permulaan penulisannya Noriya menyatakan bahawa kisah yang dia mahu tulis kali ini bukan tentang Bezza gula, tetapi tentang kereta Honda, sebuah jenama yang sangat gah di Malaysia.

Noriya menulis di Kumpulan Facebook HONDA HRV 3RD Gen 2022 Malaysia Community:

“Bukan Bezza gula tetapi Honda.

“OGOS, 26 2023, Setelah 8 bulan menunggu, akhirnya kereta idaman HONDA HRV 1.5 Turbo menjadi milik saya.

“SEPTEMBER, 2 2023, Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Selepas 2 minggu kereta diguna, kereta dihantar ke Pusat Servis HONDA Gong Badak, Terengganu untuk operasi servis 1000km.

“Kereta dihantar pada sebelah pagi dan sebelah petang kereta sudah boleh diguna seperti biasa,” jelas beliau.

Tanpa disangka sangka, selepas 2 hari di pusat servis kereta Honda HR-V itu rosak.

Noriya meneruskan:

“SEPTEMBER, 4 2023, Selepas 2 hari dari pusat servis, kereta alami beberapa kerosakan: (1) Controller lampu depan tidak boleh dilaras, (2) Lampu penunjuk pada dashboard berkelip-kelip, (3) Lampu kecemasan (emergency light) menyala.

“Kereta dihantar ke pusat servis semula dan seminggu selepas itu kereta boleh diambil. MALANGNYA, masalah yang sama berulang. Kereta sekali lagi dihantar ke pusat servis. Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu.

“OKTOBER 2023, Kereta masih belum pulih. Alasan pusat servis: ‘TIDAK DAPAT MENGESAN PUNCA MASALAH KERETA’.

“DISEMBER 2023, Pusat Servis HONDA Gong Badak sekali lagi dihubungi, alasan yang sama diberikan. Kali ini, pegawai teknikal dari pihak HQ HONDA dikatakan akan datang ke Terengganu untuk melihat masalah kereta saya.

“10 JANUARI 2024, Saya dihubungi oleh HONDA HQ dan dimaklumkan bahawa masalah kereta saya tidak dapat diselesaikan.

“Setelah 4 BULAN kereta berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kereta akan dibawa ke HONDA HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian.

“PERSOALAN SAYA? Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1.5K untuk kereta yang tidak saya gunakan. Mengapa pihak HONDA mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik yang dijanjikan HONDA?

“Saya yang tersakiti.”

Noriya kemudian menyatakan bahawa Honda memberikan kereta gantian iaitu Honda City sementara menunggu masalah keretanya diselesaikan.

Daripada masih sarat mengandung, Noriya sudah ada anak berusia 2 bulan ketika mendapat kereta gantian tersebut.

Apa yang pasti Noriya masih berharap keretanya dapat dibaiki atau penyelesaian kepada masalah tersebut ditemui.

Sebelum ini pihak Perodua setuju untuk membeli kereta Nagakanni Subramaniam dengan harga penuh.

‘Kerana Gula, Semut Bersatu’ – Perodua Bersetuju Beli Kereta Bezza Rosak Dengan Harga Penuh

Perkongsian Noriya itu menarik perhatian netizen. Di mana setakat artikel ini ditulis, ianya sudah dikongsikan lebih 1,600 kali di Facebook.